Dikemaskini 1:48 AM, 10 May, 2018
A+ A A-

Ibu bawa motosikal dengan empat anak penerima zakat MAIWP

Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) menerusi satu kenyataan di Facebook menjelaskan bahawa wanita dalam video yang tular itu merupakan salah seorang penerima zakat oleh badan itu. Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) menerusi satu kenyataan di Facebook menjelaskan bahawa wanita dalam video yang tular itu merupakan salah seorang penerima zakat oleh badan itu.

Dari Selayang seorang wanita menaiki motosikal ke Bukit Damansara, kehabisan minyak di tengah jalan di bawah cuaca terik, kemudian tersesat pula di Damansara.

Itu belum lagi tindakannya sanggup menempuh bahaya apabila turut membawa empat anak kecilnya bersama melalui lebuh raya yang sibuk.

Begitulah pengorbanan yang ditunjukkan seorang ibu apabila terpaksa melalui perjalanan ‘sukar’ demi mendapatkan bantuan buat mereka sekeluarga.

Video mengenai lima beranak itu yang tular di media sosial sejak Sabtu membangkitkan persoalan dalam kalangan netizen mengenai nasib dan bantuan yang sepatutnya diterima keluarga berkenaan untuk menjalani kehidupan di ibu kota.

Bagaimanapun, Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) menerusi satu kenyataan di Facebook menjelaskan bahawa wanita dalam video yang tular itu merupakan salah seorang penerima zakat oleh badan itu.

“Makcik tersebut ialah salah seorang penerima bantuan zakat kami secara bulanan melalui Skim Bantuan Kewangan Bulanan dan Skim Bantuan Am Persekolahan untuk anak-anaknya,” menurut satu posting di laman Facebook pada lewat malam Sabtu.

Bagaimanapun kata Baitulmal Maiwp, penjelasan tersebut bukan untuk menghalang pemberian sumbangan dan bantuan orang ramai kepada keluarga wanita itu.

“Tetapi untuk memberi pencerahan bahawa dia telah dan sedang menerima bantuan zakat kami.

“Marilah wujudkan sebuah masyarakat prihatin yang progresif senada dengan tuntutan Islam,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, menurut Baitulmal Maiwp di ruang komen pada posting berkenaan memberitahu keluarga wanita itu sekeluarga diberikan bantuan sejak 2012.

Menerusi beberapa video yang dikongsi pengguna Facebook, Nrftma Yussman pada Sabtu, dia dan seorang rakannya menceritakan bagaimana mereka berdua berasa lega mampu meringankan sedikit bebanan penunggang wanita itu dengan menumpangkan salah seorang anaknya untuk pulang ke rumah mereka di Selayang.

Pada Ahad, mStar Online melaporkan wanita berkenaan, Suriani Azira Shahril, 32, memberitahu dia merupakan ibu kepada lapan anak tetapi dua daripadanya telah meninggal dunia dan kini tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu di Kuala Lumpur.

Suri rumah itu berkata, keluarganya mendapat bantuan zakat menerusi Baitulmal Maiwp kira-kira RM350 sebulan berikutan kehidupan mereka serba kekurangan.

“Kadang-kadang makan cukup, kadang-kadang tidak. Biasanya saya akan pergi ke Chow Kit untuk mendapatkan sumbangan makanan yang diberikan NGO (badan bukan kerajaan) kepada golongan gelandangan,” katanya sambil menambah suaminya bekerja sebagai kelindan lori yang meraih pendapatan kasar kira-kira RM900 sebulan.

Bagaimanapun, suriani mengakui perbuatannya menunggang motosikal lebih muatan melanggar peraturan jalan raya bahkan membahayakan nyawa mereka lima beranak.

“Sebagai ibu saya sayangkan anak-anak dan tiada niat untuk membahayakan mereka. Tapi membiarkan mereka bersendirian di rumah di tingkat 14 juga mengundang bahaya, jadi saya tergerak hati untuk membawa mereka bersama. Dua lagi anak pula sudah berada di sekolah. Harap semua pihak faham keadaan saya,” katanya.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.