Dikemaskini 3:01 AM, 26 Apr, 2018
A+ A A-

BN, Harapan tak tertubuh dengan syarak

Majoriti rakyat terpaksa berhadapan pilihan lebih sukar iaitu siapakah paling terbaik untuk menggantikan BN? GAGASAN yang diketuai PAS atau HARAPAN yang diketuai Dr Mahathir? Majoriti rakyat terpaksa berhadapan pilihan lebih sukar iaitu siapakah paling terbaik untuk menggantikan BN? GAGASAN yang diketuai PAS atau HARAPAN yang diketuai Dr Mahathir?

Akhirnya teka-teki pilihan raya umum (PRU) ke-14 berakhir dengan pengumuman pembubaran Parlimen Malaysia penggal ini oleh perdana menteri pada Sabtu 7 April 2018.

PRU ke-14 akan berlangsung beberapa minggu dari sekarang.

PAS bersama rakan politiknya dalam Gagasan Sejahtera (GAGASAN) kali ini akan bersaing menghadapi BN yang diketuai oleh Umno dan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun partinya iaitu BERSATU dibubarkan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan.

Ia dianggap persaingan tiga penjuru paling sengit dalam sejarah pilihan raya negara.

Ia sengit kerana BN yang telah memerintah negara sejak merdeka dianggap berada dalam keadaan paling lemah apabila berlaku perpecahan dalaman yang menyaksikan Dr Mahathir dan beberapa lagi pemimpin utama bertindak keluar dari Umno dan membentuk parti baru, seterusnya menyertai pakatan politik pembangkang yang pernah dimusuhinya dahulu iaitu PKR dan DAP.

Tetapi kelemahan itu tidak pula boleh diterjemahkan sebagai satu kekuatan kepada pakatan pembangkang kerana mereka juga turut berpecah.

Pakatan Rakyat yang pernah menggabungkan parti-parti pembangkang bagi menghadapi BN dalam PRU ke-13 dulu telah pecah lalu membentuk dua pakatan politik baru iaitu GAGASAN dan HARAPAN.

Secara mudahnya, BN akan mengambil peluang terbaik daripada perpecahan blok pembangkang untuk mengekalkan kemenangan majoriti yang akan membolehkannya membentuk kerajaan baru selepas PRU ke-14 nanti.

Pihak pembangkang pula pasti mengambil peluang daripada 'mood' dan sentimen majoriti rakyat yang semakin muak dengan kelemahan dan kegagalan BN mentadbir negara dengan adil dan berjaya.

Kehidupan rakyat yang semakin tersepit berhadapan pelbagai krisis kehidupan benar-benar akan menolak BN ke hujung usianya.

Para penganalisis politik hampir bersetuju bahawa jika blok pembangkang berjaya mencipta persaingan dua penjuru bagi melawan BN, mereka pasti akan tersungkur.

Tetapi malang, takdir menentukan bahawa persaingan tiga penjuru yang lebih menguntungkan BN hampir pasti tidak dapat dielakkan dalam persaingan sengit PRU ke-14 tidak lama lagi.

Tumpuan adalah kepada PAS yang bertindak berani menolak untuk bergabung dalam HARAPAN, sebaliknya membentuk blok sendiri melalui GAGASAN yang dilihat sebagai sebuah gabungan paling kecil berbanding tiga blok yang bersaing.

PAS mengakui keadaan tersebut telah bertindak lebih rasional dan matang apabila mengisytiharkan matlamatnya memasuki PRU ke-14 sebagai parti yang akan menjadi king-maker dalam menentukan pembentukan kerajaan akan datang, seterusnya berperanan sebagai pendesak dan pengimbang terhadap polisi dan tindakan kerajaan baru nanti.

Rakyat akan menentukan siapakah yang terbaik untuk mereka. Jika sebelum ini dan sejak sekian lama rakyat menjawab dengan memilih dan mengundi BN, tetapi kali adalah berbeza.

Majoriti rakyat terpaksa berhadapan pilihan lebih sukar iaitu siapakah paling terbaik untuk menggantikan BN? GAGASAN yang diketuai PAS atau HARAPAN yang diketuai Dr Mahathir?

Ia adalah persoalan yang agak kritikal dan memerlukan pertimbangan yang betul dan tepat. Ia adalah soal masa depan yang akan menentukan sama ada negara akan menjadi lebih baik atau sebaliknya.

Pertimbangan-pertimbangan yang diambil kira mestilah jelas dan benar supaya pilihan rakyat diiringi keberkatan oleh Allah, tuhan yang memiliki kerajaan langit dan bumi dan Dialah yang mengurniakan kekuasaan kepada sesiapa yang dimahukan-Nya.

Saya perturunkan di bawah ini beberapa pertimbangan yang harus diambil kira oleh seluruh pengundi dan mengapakah PAS menjadi pilihan terbaik untuk diundi.

Pertama, PAS adalah sebuah parti yang ditubuhkan dengan alasan dan hujah syarie. Maknanya PAS ditubuhkan kerana ia tuntutan syarak agar pemerintahan negara mestilah berlandaskan nilai dan hukum Islam yang benar dan menyeluruh.

BN dan HARAPAN adalah sebaliknya. Ia ditubuhkan bukan dengan ukuran syarak. Buktinya adalah jelas bahawa sikap, polisi dan tindakan yang mereka lakukan semasa menangani isu-isu kenegaraan begitu banyak tidak bertepatan dan menyalahi hukum syarak dan mereka tidak menghiraukannya. Anda boleh sendiri menyaksikan PAS adalah sebaliknya.

Kedua, PAS secara konsisten menyeru kepada perpaduan umat dan rakyat dengan Islam. PAS tegas - tiada erti perpaduan tanpa Islam. Ia palsu dan pasti berhadapan perpecahan segera akibat persaingan nafsu-nafsi antara pemuka-pemuka politik.

Ia adalah seruan yang jelas oleh Allah dan Rasul SAW.

Perhatikan bagaimana sikap dan tindakan PAS berkaitan hubungannya dengan pesaing politiknya sama ada BN atau HARAPAN.

Umum mengetahui betapa BN lebih lunak dengan isu-isu Islam berbanding HARAPAN yang terumbang-ambing di antara berlunak dengan Islam atau berlunak dengan DAP yang nyata memusuhi agenda Islam untuk negara.

Anda saksikan PAS bertindak benar dan jelas, bahawa di sebalik persaingan politik yang sengit, kami tetap bersedia bekerjasama, bahkan menyokong apa sahaja agenda kerajaan BN untuk kebaikan dan kemaslahatan Islam dan rakyat.

Ia jelas dan PAS tidak pernah bersembunyi daripada meneguhkannya di sebalik kecaman membuta tuli oleh HARAPAN yang menuduh PAS sebagai bersekongkol dengan kezaliman BN.

Begitu juga sikap benar dan tegas PAS mengingatkan rakyat agar berwaspada dengan ancaman terhadap Islam yang dipandang remeh oleh HARAPAN.

Islam adalah agama peringatan. Ia tidak jemu mengingatkan manusia dengan bahaya tipu daya duniawi yang datang untuk menyesatkan dan mengalahkan kekuatan Islam di dalam diri dan negara.

Itulah PAS yang tidak pernah takut dengan pelbagai celaan oleh orang-orang yang mencela.

Ketiga, PAS konsisten menolak kemungkaran dan kezaliman BN dalam pemerintahannya yang merugikan negara dan menindas rakyat.

Ia adalah sayap "mencegah kemungkaran" yang beriringan dengan sayap "menyuruh kepada al-makruf" dalam konsep dakwah "al-amru bil makruf wa al-nahyu anil munkar" diajarkan oleh Islam yang sempurna.

PAS menolak salah saku dalam 1MDB yang dipenuhi kerosakan yang dilihat memangsakan wang rakyat dan menuntut siasatan yang benar-benar telus dan diperakui oleh rakyat.

Sikap kerajaan hari ini adalah memalukan dan dilihat takut untuk melihat kebenaran dibongkar.

PAS menolak perlaksanaan cukai GST oleh kerajaan BN dan melihatnya salah dan bertentangan dengan sistem percukaian Islam yang antara syarat utamanya melarang rakyat jelata miskin dibebankan.

PAS malah mengemukakan cadangan cukai alternatif yang lebih baik dan tidak akan membantutkan pertumbuhan ekonomi negara.

PAS menolak polisi kerajaan yang menjadikan pendidikan anak bangsa sebagai satu perniagaan. Ia membebankan rakyat dan memangsakan anak bangsa dengan hutang peribadi seawal usia mudanya. Ia adalah bebanan hidup yang mesti dihapuskan oleh kerajaan.

Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Kerajaan BN pula jadi tukang yang meletakkan bebanan ke atas anak muda.

PAS menolak ketidakadilan dan kezaliman secara konsisten. Ia adalah lebih mudah untuk menilainya kerana neraca PAS adalah pada hukum-hukam agama dan sumber rujukannya yang unggul.

Anda akan sentiasa teruja untuk melihat PAS merumus dan bertindak berlandaskan agama di dalam semua isu-isu negara.

Keempat, PAS menonjolkan Kelantan sebagai model kecil pentadbiran Islam yang dilaksanakan dalam negara. Hampir 30 tahun dengan rekod pentadbiran yang sifar rasuah adalah menakjubkan.

Bandingkan dengan parti-parti lain yang turut diberi peluang memerintah dan mentadbir. PAS nyata di tempat pertama dalam kebersihan dan ketelusannya.

Saksikan pembaharuan-pembaharuan yang mengujakan yang dilakukan oleh 28 tahun pemerintahan PAS di Kelantan. Dan janganlah lupa, ia adalah kejayaan di sebalik tekanan penuh kejahatan oleh regim Tun Dr Mahathir Mohamad dan BN yang dipenuhi adegan kediktatoran.

Kelima, PAS berjaya mengukuhkan dirinya dengan lakaran masa depan untuk negara yang sejahtera. Untuk dirinya, seterusnya untuk negara, PAS memperkenalkan konsep Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS). Ia kini menjadi praktis politik yang begitu memajukan PAS dan diterima rakyat.

PAS memperkenalkan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) sebagai wawasan terbaik melihat potensi negara memajukannya ke arah sebuah negara model untuk negara-negara serantau dan juga untuk negara-negara Islam menjelang 2051.

Ia adalah julung kali dibentangkan oleh PAS semenjak penubuhannya.

Itulah PAS pada saat ia bergerak melangkah gagah menuju PRU ke-14. Harapan adalah menggunung agar rakyat memilih PAS sebagai parti pilihan terbaik demi sebuah negara Malaysia yang lebih baik dan cemerlang.

NIK ABDUH NIK ABDUL AZIZ ialah penyandang kerusi parlimen Pasir Mas dan anggota Jawatankuasa Pusat PAS.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi SmasaNews.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.