Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

Exco Johor jawab cadangan AMANAH tubuh Universiti Sultan Ibrahim

Kenyataan tersebut bukan sahaja mengelirukan, malah menggambarkan dengan jelas betapa terdesaknya AMANAH serta kecetekan pemahaman mereka terhadap negeri Johor dan tawaran pendidikan yang ada di negeri ini. Kenyataan tersebut bukan sahaja mengelirukan, malah menggambarkan dengan jelas betapa terdesaknya AMANAH serta kecetekan pemahaman mereka terhadap negeri Johor dan tawaran pendidikan yang ada di negeri ini.

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor baru-baru ini melahirkan rasa kesal mereka dengan tindakan saya yang kononnya telah menolak secara tergesa-gesa cadangan mewujudkan Universiti Sultan Ibrahim.

Kenyataan tersebut bukan sahaja mengelirukan, malah menggambarkan dengan jelas betapa terdesaknya AMANAH serta kecetekan pemahaman mereka terhadap negeri Johor dan tawaran pendidikan yang ada di negeri ini.

Pertama sekali, saya melahirkan rasa kesal. Baru-baru ini DYMM Sultan Johor telah memberi amaran keras agar nama Tuanku Sultan tidak dipergunakan untuk kepentingan politik. Malah, institusi kerajaan dan awam harus bergerak dan berkhidmat secara bebas daripada politik.

Namun, inilah yang dilakukan oleh AMANAH. Ketika kita semua kabur dan tidak pasti sama ada mereka sebenarnya sudah mendapat perkenan Istana secara teratur untuk mengabadikan nama Tuanku Sultan Ibrahim di universiti yang mereka ingin tubuhkan, mereka sudah terlebih dahulu menjaja nama tersebut dan mempolitikkannya.

Ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan dilihat berniat tidak ikhlas serta mahu mengelirukan masyarakat dengan mengheret nama baik Istana.

Kedua, biar apa pun alasan yang akan AMANAH berikan selepas ini untuk menjustifikasikan tindakan mereka menggunakan nama tersebut, saya berpendirian bahawa cadangan mereka masih tidak berasas dan tidak memperlihatkan keperluan sebenar di Johor.

Pertama, terdapat percanggahan yang ketara dalam pendirian mereka.

Sebelum ini, wakil-wakil AMANAH sendiri dalam pelbagai forum, ceramah dan kenyataan yang tidak berhenti menghentam kerajaan negeri dengan mendakwa ia gagal memacu ekonomi dengan baik sehingga ramai anak tempatan terpaksa berkerja di Singapura.

Namun, hari ini, demi mewajarkan cadangan mereka, dikatakan pula bahawa sektor perindustrian dan pembangunan Johor memuncak sehingga memerlukan sebuah universiti baharu untuk mengimbangi kerancakan dan kepesatan pembangunan Johor.

Ia bukan sahaja menggambarkan sikap mereka yang bermuka-muka dan tidak sepakat. Lebih merisaukan, mereka nampaknya terang-terangan memanipulasi isu kepentingan dan keperluan anak muda Johor sebagai modal politik.

Malah, kenyataan mereka secara tidak langsung mengakui dengan jelas bahawa Johor telah membangun dan bertumbuh dengan cukup pesat di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.

Justeru, di manakah kegagalan pemacuan ekonomi negeri yang mereka laungkan sebelum cadangan universiti ini?

Kedua, mereka nampaknya tidak memahami bahawa kecenderungan hari ini adalah untuk mengadakan institusi pengajian tinggi yang mempunyai kebitaraan dan pengkhususan bidang yang spesifik.

Bukannya menjadikan sesebuah universiti sebagai pusat yang menawarkan segala jenis ilmu yang ada di dunia seperti yang mereka mahukan.

Mereka mengharapkan universiti mereka ini menjadi, pemacu dalam kajian dan pembangunan, pusat kebudayaan pelbagai etnik, pemacu pembangunan infrastruktur Johor, pusat teknologi, pusat pembangunan daya kreativiti, dan universiti tersebut juga harus berfungsi sebagai institusi yang memberi daya saing di peringkat antarabangsa ekoran kedudukan Johor yang bersebelahan dengan Singapura.

Perkara ini menunjukkan ketidakfahaman mereka dalam trend dan fokus semasa institusi pengajian tinggi di seluruh dunia. Ini kerana, hari ini universiti-universiti dunia lebih cenderung untuk tampil dengan fungsi dan kepakaran yang spesifik berbanding menjadi institusi yang menjadi penawar dan penyelesai kepada segala jenis masalah masyarakat di bawah satu bumbung.

Ketiga, AMANAH mendakwa bahawa kerajaan negeri seharusnya membuat kajian terlebih dahulu sebelum menolak mentah-mentah cadangan ad hoc mereka.

Dakwaan ini bukan sahaja tidak benar, malah ibarat meludah ke langit. Ini kerana, sekiranya AMANAH membuat kajian yang terperinci, mereka akan menemukan beberapa perkara penting yang menunjukkan bahawa cadangan mereka adalah pramatang dan tidak berhati-hati.

Menurut Laporan Kajian Pengesanan Graduan 2016, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai Johor mempunyai graduan peringkat PhD yang paling ramai merentasi universiti awam iaitu 727 graduan PhD pada tahun 2016.

Bilangan ini juga merupakan peratusan tertinggi iaitu 10.7 peratus berbanding peratusan purata seluruh Malaysia iaitu 3.1 peratus.

Malah, Johor mempunyai bilangan graduan yang kedua teramai iaitu 26,473 graduan pada tahun 2016. Trend ini kekal dari tahun 2015 dengan 25,100 graduan yang bermastautin di Johor.

Dari jumlah 26,473 graduan, 58.9 peratus telah mula bekerja dalam tempoh 6 bulan, dan statistik ini merupakan pencapaian ke-4 terbaik merentasi negeri selepas Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur.

Malah, trend ini menunjukkan peningkatan sejak tahun 2013 (50 peratus), 2014 (52 peratus), 2015 (57 peratus). Perkara ini amat memberangsangkan dan menunjukkan peluang pekerjaan yang semakin meningkat untuk para graduan Johor.

Keempat, jika AMANAH benar-benar membuat kajian, mereka juga akan mendapati bahawa, trend semasa adalah untuk memperbanyakkan peluang dan latihan kemahiran yang selari dengan tuntutan dan tawaran abad ke-21.

Menurut laporan World Economic Forum bertajuk Future of Jobs mendedahkan bahawa di rantau ASEAN sahaja, kedatangan teknologi cloud computing dan mobile internet telah memberi kesan langsung kepada kira-kira 67 peratus pekerjaan sedia ada manakala, 34 peratus lagi akan semakin terjejas menjelang 2020.

Laporan tersebut juga menunjukkan bahawa di seluruh dunia, lebih daripada tujuh juta pekerjaan akan digantikan dengan sistem automasi dan teknologi komputer, yang kebanyakannya adalah daripada kerja-kerja pejabat dan pengurusan.

Untuk berhadapan dengan perkara ini, langkah yang lebih baik adalah untuk memperkenalkan modul latihan yang selari dengan kemaraan ekonomi digital dan Revolusi Perindustrian 4.0.

Atas dasar itulah, kerajaan negeri memberi perhatian kepada kursus latihan kemahiran. Misalnya:
a. Memperkenalkan Tabung Latihan Kemahiran Johor dengan peruntukan sebanyak RM5 juta, termasuklah RM1.5 juta yang dikhususkan kepada orang muda Felda;
b. Melalui Agenda Johor Mahir (sejak 2016), membangunkan Skills Johor dengan nilai kira-kira RM100 juta, yang menjadi pusat latihan kemahiran dalam bidang TVET dan mampu menempatkan sehingga 20 ribu pelatih.

Malah, kerajaan negeri Johor telah menubuhkan Unit Swadaya Insan yang bertanggungjawab mengkaji keperluan tenaga kerja di Johor sekaligus mencadangkan langkah-langkah yang bersesuaian. Dan bukannya terburu-buru untuk menubuhkan sebuah universiti dan mengharapkan
semuanya akan selesai.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri amat komited membantu meningkatkan akses dan kualiti pencapaian anak-anak Johor di institusi pengajian tinggi. Ini termasuklah melakukan inisiatif baharu seperti;
a. Memperkenalkan tabung pendidikan tanpa faedah (zero interest education loan) kepada anak Johor;
b. Membantu mengubahsuai kediaman pelajar yang menuntut di sekitar Batu Pahat melalui kerjasama dengan YPJH dengan peruntukan RM1 juta;
c. Memperuntukkan RM500 ribu kepada pendidikan tinggi Cina di Kolej Selatan;
d. Menjayakan pembangunan Hab Pendidikan Muar di Bandar Universiti Pagoh yang kini menempatkan kira-kira 7 ribu penuntut dan tenaga pengajar kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), UTM, UTHM dan Politeknik Tun Syed Nasir;
e. Mempromosikan EduCity di Iskandar Puteri kepada lebih ramai anak Johor untuk merebut peluang belajar di universiti terkemuka dunia yang beroperasi di Johor. Ini termasuklah University of Reading, Newcastle University of Medicine Malaysia, Southampton University, Netherlands Institute of Maritime Technology, Raffles University Iskandar dan
Multimedia University (MMU);
f. Membangunkan Johor sebagai destinasi pilihan dan pusat operasi pelbagai kolej dan universiti terkemuka dunia seperti Marlborough College, Sunway College, Southern University College, ELS Language Centre, Olympia College, Crescendo International College dan pelbagai
lagi.

Kesemua ini tidak termasuk fakta bahawa Johor mempunyai banyak institusi pengajian tinggi awam seperti UiTM di Segamat, UTHM di Batu Pahat, UTM di Skudai dan pelbagai institut latihan seperti Institut Teknologi Perindustrian YPJ, Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT) dan UNIKL-MITEC.

Tindakan Kerajaan Negeri memfokuskan kepada penyediaan kursus latihan dan kemahiran yang pelbagai adalah lebih bersesuaian dengan keperluan.

Sekurang-kurangnya daripada 6 aspek.

Pertama, kursus latihan mengambil masa yang lebih pendek (sekitar 6 bulan sehingga setahun) berbanding dengan kursus pengajian di universiti yang mengambil masa 3 hingga 4 tahun.

Kedua, apabila ia melibatkan masa yang lebih singkat, ini bermakna, lebih ramai anak Johor yang akan dapat menyertai alam pekerjaan dengan lebih cepat.

Ketiga, ia lebih murah berbanding pengajian penuh di universiti. Ini bermakna, dengan peruntukan yang ada, kita akan dapat melatih lebih ramai anak muda Johor.

Keempat, ia lebih mudah ditubuhkan dan lebih murah untuk diuruskan kerana tidak memerlukan kita untuk memenuhi segala keperluan dan syarat-syarat operasi seperti yang ditetapkan ke atas sebuah universiti.

Kelima, pusat latihan kemahiran akan mempunyai hubungan dan kerjasama yang lebih rapat dan strategik dengan para pemain tempatan dan antarabangsa, kerana ia berfokus dan spesifik.

Keenam, pemfokusan kepada penyediaan lebih banyak pusat latihan kemahiran adalah selari dengan minat dan fokus anak muda hari ini.

Setidak-tidaknya ia menawarkan satu alternatif yang sistematik kepada mereka yang tidak berminat dengan pembelajaran di bilik kuliah di dalam universiti.

Kelima, yang paling tidak masuk akal, AMANAH terdesak untuk menyamakan cadangan ad hoc mereka ini sebagai selari dengan usaha kerajaan negeri yang sedang membangunkan kapasiti MARSAH sebagai persediaan untuk dinaiktarafkan kepada Kolej Universiti.

Mana mungkin menubuhkan sebuah universiti baharu dari awal dan menaiktarafkan kolej sedia ada adalah satu tindakan yang sama.

Keenam dan terakhir, saya secara peribadi melihat cadangan ad hoc penubuhan Universiti Sultan Ibrahim oleh AMANAH ini sebenarnya menggambarkan beberapa perkara yang jelas.

Pertama, ia menunjukkan betapa terdesaknya AMANAH yang sering dianaktirikan oleh Pakatan Harapan. Mana tidaknya, cadangan menubuhkan sebuah universiti adalah satu cadangan yang besar dan bersifat nasional. Namun, ia tidak pun diterima untuk dimasukkan dalam manifesto bersama Pakatan Harapan.

Kedua, cadangan ad hoc ini menunjukkan bahawa AMANAH tidak pun memahami sektor pengajian tinggi dengan mencadangkan sebuah universiti yang mempunyai kepakaran dalam serba-serbi bidang.

Ketiga, cadangan ad hoc dan semberono tersebut jelas membuktikan bahawa AMANAH tidak pun mengetahui tentang keadaan dan kedudukan semasa di negeri Johor.

Jadi, tidak hairanlah terpacul satu cadangan yang bukan sahaja bersifat populis, namun, tidak praktikal, tidak teliti dan tidak ikhlas.

Adalah amat merugikan kepada Johor dan bangsanya, jika parti politik seperti AMANAH dibiarkan untuk mengemudi agenda pembangunannya. Pasti haru biru.

____________________________________________

DATUK AYUB RAHMAT adalah Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Penerangan dan Pendidikan, Johor.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Smasa News

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.