Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

Norza presiden baharu MOM

NORZA (kiri) akan menggantikan Tunku Imran (kanan) sebagai Presiden MOM apabila diumumkan menang tanpa bertanding selepas tidak dicabar sehingga pencalonan ditutup pukul 5 petang semalam. NORZA (kiri) akan menggantikan Tunku Imran (kanan) sebagai Presiden MOM apabila diumumkan menang tanpa bertanding selepas tidak dicabar sehingga pencalonan ditutup pukul 5 petang semalam.

Laluan mudah buat Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria selepas beliau di­umumkan sebagai calon tunggal bagi merebut jawatan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk sukan negara itu 5 Mei depan.

 

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Panel Pemilihan MOM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunos pada sidang akhbar khas di Wisma MOM, Kuala Lumpur semalam.

Keputusan itu juga bakal me­nyaksikan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tersebut diumumkan menang tanpa bertanding, sekali gus bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar bagi penggal 2018-2021.

Norza yang merupakan penyandang jawatan Timbalan Presiden MOM ketika ini mengakui gembira serta bersyukur dengan kepercayaan yang ditunjukkan persatuan sukan kebangsaan (NSA) apabila menerima empat pencalonan bagi kerusi presiden.

“Pertama sekali syukur alhamdulillah dan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk me­mimpin organisasi ini. Saya tahu tanggungjawab tersebut sangat besar tetapi saya akan cuba galas sebaik mungkin.

“Selain itu, saya juga berterima kasih kepada Tunku Imran dan Khairy (Jamaluddin Abu Bakar) serta persatuan sukan atas sokongan yang diberikan kepada saya.

“Apa yang penting sekarang adalah untuk terus memartabatkan sukan negara ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Keputusan itu juga seperti dijangka memandangkan Tunku Imran pernah menyatakan Norza merupakan calon sesuai menggantikan tempatnya biarpun terdapat desas-desus yang mendakwa bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa bakal bertanding merebut jawatan berkenaan.

Dalam pada itu, jawatan Timbalan Presiden MOM menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Me­gat Zulkarnain Omardin dan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.

Sebagai rekod, Tunku Imran mengetuai barisan kepimpinan tertinggi badan induk sukan negara selama 20 tahun sejak dilantik pada 1998. - Kosmo Online

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.