Dikemaskini 6:21 AM, 20 Apr, 2018
A+ A A-

Selamat tinggal Gold Coast, jumpa di Birmingham 2022

Terima kasih Gold Coast, jumpa lagi di Birmingham pada 2022.

 

Itulah slogan penutup Sukan Komanwel 2018 yang melabuhkan tirai secara rasmi malam tadi sejak hari pembukaan pada 4 April lalu.

Upacara penutup di Stadium Carrara di Gold Coast malam tadi berlangsung penuh gilang-gemilang dan berwarna-warni dengan percikan bunga api menandakan berakhirnya temasya sukan edisi ke-21 itu.

Kontinjen Malaysia menamatkan ‘peperangan’ di Gold Coast dengan mengutip tujuh pingat emas, lima perak dan 12 gangsa, sekali gus mencapai sasaran untuk memperbaiki kutipan enam emas diraih di Glasgow, Scotland empat tahun lalu.

Tujuh kilauan emas itu secara tidak langsung menyamai pencapaian emas yang diraih kontinjen negara sewaktu edisi 2002 di Manchester, England dan 2006 di Melbourne, Australia.

Bagaimanapun, kontinjen Malaysia gagal mencapai matlamat menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik keseluruhan apabila mengakhiri temasya di tempat ke-12.

Skuad badminton menyelamatkan maruah negara apabila menyumbangkan dua pingat emas pada hari terakhir temasya semalam yang membolehkan Malaysia memperbaiki pencapaian empat tahun lalu.

Dua emas tersebut hadir menerusi kejayaan legenda negara, Datuk Lee Chong Wei dalam acara perseorangan lelaki dan beregu wanita, Vivian Hoo serta Chow Mei Kuan.

Dua daripada baki lima lagi pingat emas Malaysia pada edisi ini berjaya diraih dalam sukan angkat berat menerusi pemegang rekod baharu Sukan Komanwel, Muhammad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad dalam kategori 56 kilogram (kg) dan Muhammad Aznil Bidin (62kg).

Bakinya diraih pasangan boling padang negara, Emma Firyana Saroji dan Siti Zalina Ahmad untuk acara pairs wanita, gimnas berpengalaman, Amy Kwan Dict Meng (riben individu) serta gandingan Cheong Jun Hoong-Pandelela Rinong dalam kategori 10 meter (m) platform seirama wanita.

Sebagai rekod, kontinjen Malaysia dibarisi 178 atlet dan 97 pegawai mengambil bahagian dalam 19 acara bersaing dengan keseluruhan 71 negara bertanding pada Sukan Komanwel 2018.

Australia muncul juara keseluruhan selepas memungut 80 pingat emas, 59 perak dan 59 gangsa, diikuti England sebagai naib juara dengan 45 emas, 45 perak dan 46 gangsa dan wakil Asia, India di tempat ketiga (26 emas, 20 perak dan 20 gangsa).

Upacara penutup malam tadi diakhiri dengan penyerahan bendera Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) oleh tuan rumah Australia kepada penganjur Sukan Komanwel 2022, Birmingham, England.

Bendera CGF kemudian diserahkan kepada Datuk Bandar Birmingham, Anne Underwood oleh Pengerusi Sukan Komanwel England, Ian Metcalfe.

More in this category: « Chong Wei, anda memang wira kami!

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.