Dikemaskini 1:48 AM, 10 May, 2018
A+ A A-

Harapan emas berpasukan campuran berkecai ditangan India

Penguasaan Malaysia dalam acara badminton berpasukan campuran sejak dua edisi Sukan Komanwel lalu berakhir apabila kecundang 1-3 kepada India di Arena Sukan Carrara, pada Isnin.

 

India, yang dinafikan kejuaraan dalam temasya New Delhi 2010 oleh Malaysia, ternyata mempamerkan watak berbeza.

Kemenangan gandingan Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa ke atas beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, 21-14, 15-21, 21-15 jelas memacu semangat kem lawan.

"Saya dan Peng Soon tidak dapat berada di tahap sebenar dalam set pertama tetapi mula menemuinya dalam set kedua.

"Apabila kami mendahului, lawan mengubah taktikal sehingga menyebabkan kami tidak dapat menanganinya," ujar Liu Ying.

Momentum kemenangan itu diteruskan oleh pemain di ranking kedua dunia, Srikanth Kidambi, apabila mencalarkan reputasi Datuk Lee Chong Wei dalam perseorangan lelaki.

Kidambi menundukkan Chong Wei 21-17, 21-14 dalam tempoh 43 minit.

"Saya akui rentak lawan lebih pantas pada hari ini sehingga saya tidak dapat mengikutinya dan menyebabkan semua pukulan tidak dapat dibalas," kata Chong Wei yang tewas kali pertama kepada lawannya itu.

Impian emas India, bagaimanapun, ditangguhkan Tan Wee Kiong-Goh V Shem yang menyaksikan mereka kembali merapatkan jurang 2-1.

Kebangkitan lewat permainan oleh Rankireddy-Chirag Shetty berjaya dinafikan dengan kemenangan 21-15, 22-20.

Soniia Cheah, yang menggalas tugas dalam pertarungan berikutnya, kemudian memberikan sedikit harapan ketika berdepan pemain sensasi perseorangan wanita India, Saina Nehwal.

Soniia terlebih dahulu membenarkan lawan menawan set pertama 21-11, namun bangkit dengan kemenangan 21-19 dalam set kedua untuk mengheret permainan ke set penentuan.

Selepas bergelut dengan kecederaan jari dalam set kedua, Soniia mula kepenatan dan kesempatan itu diambil oleh Nehwal untuk menoktahkan perjuangan Malaysia dengan kemenangan 21-9.

"Saya memohon maaf kepada pasukan kerana tidak dapat memberikan mata pada hari ini tetapi saya tetap berbangga dengan pencapaian seluruh skuad," kata Soniia. - Astro Awani

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.