Dikemaskini 1:48 AM, 10 May, 2018
A+ A A-

Ujian doping sampel B Ahmad Syihan positif

Ujian ke atas sampel B air kencing penjaga gol skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Ahmad Syihan Hazmi didapati mengandungi bahan terlarang metabolite methandienone, sama se­perti keputusan ke atas sampel A.

 

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin ketika mengesahkan hasil ujian ber­kenaan berkata, pihaknya telah menerima surat daripada Konfe­derasi Bola Sepak Asia (AFC) yang memaklumkan keputusan ujian doping ke atas pemain muda itu, namun hukuman terhadap Ahmad Syihan masih belum diputuskan walaupun dia berkemungkinan berdepan penggantungan bermain selama dua hingga empat tahun.

Ujian doping ke atas sampel A air kencing penjaga gol itu, yang diambil sewaktu Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di China bulan lalu, didapati positif dan Ahmad Syihan meminta ujian kedua dilakukan.

“Hari ini keputusan mengenai sampel B...Syihan adalah positif. AFC telah menghantar surat kepada kami dan hukuman hanya akan diputuskan selepas mesyua­rat jawatakuasa tatatertib badan induk Asia itu,” katanya selepas menghadiri Seminar Keselamatan FAM 2018 di obu negara pada Rabu.

Syihan, 22, sebelum ini me­ngakui ada mengambil makanan tambahan berbentuk protein yang mungkin menjadi penyebab dia disahkan mengambil bahan terlarang metabolite methandienone pada ujian pertama itu.

Katanya, makanan tambahan yang diambilnya sejak Mei tahun lalu itu hanya untuk tujuan kecergasan selepas menjalani latihan.

Pemain berusia 22 tahun itu dipilih secara rawak untuk menjalani ujian doping dalam Kejohanan AFC B-23 selepas perlawanan pertama Kumpulan C bertemu Iraq di Stadium Changshu pada 10 Januari lalu.

Syihan tidak beraksi langsung dalam kejohanan setelah ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan Datuk Ong Kim Swee memilih Ifwat Akmal Chek Kassim dalam perlawanan bertemu Iraq, sebelum Haziq Nadzli bertugas mengawal gawang untuk tiga perlawanan berikutnya sehinggalah Malaysia tewas 2-1 kepada Korea Selatan dalam suku akhir.

Pada 6 Februari lalu, FAM menerima surat daripada AFC yang menyatakan bahawa ujian sampel A yang diambil pada 10 Januari mendapati Syihan positif metabolite methandienone, sejenis bahan larangan dalam senarai Agensi Antidoping Dunia (WADA).

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC memutuskan bahawa Syihan bersalah melanggar Artikel 6 Peraturan Antidoping AFC dan dikenakan penggantungan sementara selama 60 hari daripada mengambil bahagian dalam segala aktiviti bola sepak termasuk perlawanan domestik, perlawanan persahabatan dan perlawanan rasmi.

Dalam perkembangan lain, Hamidin turut memberitahu FAM akan menambah untuk melakukan ujian doping secara rawak setelah sebelum ini hanya me­ngenakan ke atas pemain Liga Super dan Liga Perdana serta perlawanan penting Piala FA dan Piala Malaysia.

“Kami memang ada buat ujian doping dan untuk tahun ini kami tambahkan lagi jumlahnya menjadi satu kali ganda iaitu daripada 32 kepada 60 hingga 70,” jelasnya. - Utusan Online

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.