Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

Kerana Salah, penyokong Liverpool mahu jadi Muslim

Kehebatan pemain Liverpool ini tidak dapat disangkal lagi. Malah nama Mohamed Salah Ghaly menjadi sebutan. Tambah menarik lagi, beliau adalah pemain handal yang beragama Islam.

 

Menurut laporan media Britain, ramai penyokong tegar kelab bola sepak terkenal liga Inggeris itu bahkan turut cipta beberapa lagu sorakan khusus buat beliau sendiri ketika aksi perlawanan yang digelar mereka sebagai ‘raja Mesir’.

Salah satunya dicipta masa perlawanan menentang FC Porto di Stadium Estadio do Dragao, dekat Lisbon, Portugal. Ia diberikan tajuk ‘The Mo Salah Song’, lapor portal antarabangsa Arab News yang berpusat di Jeddah, Arab Saudi.

Kejayaan meraih kemenangan besar di padang lawan itu memberi alasan cukup kuat untuk penyokongnya berpesta. Ia kejayaan pertama skuad The Kop melepasi pusingan kalah mati pertandingan Liga Juara Eropah sejak 2009.

Keunikan sorakan berkenaan terletak pada bait liriknya, yang menyatakan para penyokong mahu menjadi Muslim seperti Salah dan jika pemain berusia 25 tahun itu berada di dalam masjid, di situ jugalah mereka ingin berada.

Ternyata sorakan tersebut berkesan kerana Salah tidak menghampakan mereka dan menjaringkan gol semasa perlawanan tersebut sekali gus meraih gol beliau yang ke-30 dalam semua perlawanan sepanjang musim kali ini.

Sorakan unik itu turut menjadi hits dalam kalangan peminat Liverpool menerusi laman media sosial. Salah sendiri memberikan respons positif dengan memuat naik catatan Twitter iaitu tiga ‘emoji’ bermata hati, lapor Arab News.

Antara lirik sorakan berkenaan ialah:

“Mo Sa-la-la-la-lah
Mo Sa-la-la-la-lah
If he’s good enough for you
he’s good enough for me.
If he scores another few
then I’ll be Muslim too.
He’s sitting in the mosque
that’s where I wanna be.
Mo Sa-la-la-la-lah…”

Berasal dari kampung kecil Nagrig di wilayah Delta Sungai Nil, kira-kira 160 kilometer dari utara ibu kota Kaherah, beberapa laporan menggambarkan Salah sebagai seorang Muslim yang baik dan banyak membantu orang ramai.

Sudah pun berkahwin dengan wanita Mesir bernama Magi pada 2013 dan dikurniakan anak perempuan dinamakan Makka pada 2014 sempena nama kota suci umat Islam, Salah pernah bermain dengan kelab di Switzerland dan Itali.

Antara kisah teladan yang banyak diperkatakan ramai pihak mengenai personaliti jiwa murni Salah adalah sewaktu pemain profesional terbaik benua Afrika itu pernah bermain untuk kelab kecil Al-Ittihad di Iskandariah, Mesir.

Pada suatu hari, rumah keluarganya pula disamun tetapi penjenayah terbabit berjaya ditahan oleh polis dua hari kemudian. Tidak seperti kebanyakan orang, Salah meminta pihak berkuasa tidak mendakwa perompak terbabit.

Ketika itu bapanya berharap hukuman dikenakan ke atas lelaki berkenaan. Sebaliknya Salah memberikan sejumlah wang kepada perompak berkenaan untuk memudahkannya memulakan kehidupan baharu, menurut laporan media.

Tidak cukup dengan itu, beliau bantu penjenayah berkenaan mendapatkan pekerjaan. Salah mewakili pasukan Mesir Bawah 20 dan 23 Tahun selain skuad kebangsaan negara Islam itu sejak 2010. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.