Dikemaskini 3:49 AM, 15 Dec, 2017
A+ A A-

SPAD arah KTMB gantung khidmat kargo

Dalam satu kenyataannya, suruhanjaya berkenaan menyifatkan kejadian tersebut tidak boleh diterima dan mengarahkan KTMB mempercepatkan siasatan serta mengemukakan laporan penuh bagi mengenal pasti punca sebenar kegelinciran itu. Dalam satu kenyataannya, suruhanjaya berkenaan menyifatkan kejadian tersebut tidak boleh diterima dan mengarahkan KTMB mempercepatkan siasatan serta mengemukakan laporan penuh bagi mengenal pasti punca sebenar kegelinciran itu.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengarahkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggantung perkhidmatan kargo di sepanjang laluan Rawang-Salak Selatan, sementara menunggu hasil siasatan insiden tren kargo tergelincir tidak jauh dari Stesen Bank Negara, semalam.

Dalam satu kenyataannya, suruhanjaya berkenaan menyifatkan kejadian tersebut tidak boleh diterima dan mengarahkan KTMB mempercepatkan siasatan serta mengemukakan laporan penuh bagi mengenal pasti punca sebenar kegelinciran itu.

“Di samping itu, SPAD menegaskan kepada KTMB untuk mengkaji semula dan memperbaiki prosedur pengendalian gerabaknya bagi memastikan keselamatan terjamin.

"Suruhanjaya juga mengarahkan KTMB mempercepatkan projek naik taraf Landasan Keretapi Berkembar Lembah Klang (KVDT) yang bertujuan menaik taraf rangkaian rel sepanjang 42 kilometer, terutama di landasan sejauh 7 kilometer antara Simpang Batu dan Stesen Kuala Lumpur kerana indeks kualiti landasan dalam sektor ini perlu dipertingkatkan dengan segera,” kata kenyataan itu.

SPAD berkata setelah siasatan insiden itu dimuktamadkan, tindakan tegas akan dikenakan terhadap KTMB termasuk penalti kewangan sekiranya wujud faktor kecuaian.

Susulan insiden itu, SPAD juga meminta KTMB memulangkan tambang kepada penumpang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang mengalami gangguan perjalanan serta ingin membatalkan perjalanan mereka.

Menurut kenyataan itu, penumpang yang terjejas berikutan gangguan perkhidmatan tersebut boleh menggunakan perkhidmatan rel alternatif seperti Transit Aliran Massa (MRT) di Sungai Buloh, Kajang, Muzium Negara, Pasar Seni dan Transit Aliran Ringan (LRT) dari Subang Jaya.

"KTMB juga akan memastikan penumpang ETS dihubungkan ke Stesen Sungai Buloh menggunakan MRT sebelum beralih ke ETS untuk meneruskan perjalanan masing-masing.

"SPAD mengarahkan KTMB menyediakan perkhidmatan bas untuk perjalanan Sentul-KL Sentral-Sentul sebagai alternatif perjalanan bagi penumpang yang terjejas dalam insiden tersebut," jelas kenyataan itu.

Dalam kejadian pada 2.58 pagi semalam, perkhidmatan KTM Komuter dan ETS melibatkan beberapa laluan di sekitar Lembah Klang dilaporkan mengalami gangguan susulan dua belas gerabak tren kargo yang membuat perjalanan menuju ke arah Selatan tergelincir di antara Stesen Bank Negara dan Stesen Kuala Lumpur di KM 386. - Bernama

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.