Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

Pihak berkuasa M’sia lebih hebat daripada DoJ jika tidak dihalang

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berharap pihak berkuasa tempatan diberikan keberanian untuk membongkar isu 1MDB. Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berharap pihak berkuasa tempatan diberikan keberanian untuk membongkar isu 1MDB.

Pihak berkuasa Malaysia seperti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Peguam Negara mampu menyiasat isu 1MDB lebih baik daripada Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat jika tidak dihalang.

Malangnya kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, DoJ telah membuktikan mereka mampu menyiasat dan membongkar pengaliran tunai 1MDB dengan lebih teliti sedangkan siasatan 1MDB di dalam negara pula tidak menampakkan apa-apa hasil.

“Pasukan polis negara umpamanya yang kerjanya sebegitu cemerlang dalam mengesan aktiviti kehadiran para pengganas sudah tentunya mampu mengendalikan kes 1MDB.

“SPRM yang begitu rancak mengesan kegiatan rasuah antara penjawat awam walau kecil jumlahnya sudah pasti dapat membongkar segala yang berlaku di dalam 1MDB. Begitu juga dengan kemampuan Ketua Audit Negara dan Gabenor Bank Negara yang sudah diperakui ramai.

“Keempat-empat pasukan ini semestinya lebih mampu daripada DoJ, tapi malangnya mereka kini terpaksa mengharungi penghinaan demi penghinaan oleh DoJ kerana mereka sedang berhadapan halangan-halangan yang tidak boleh disebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Susulan daripada itu, beliau berharap pihak berkuasa tempatan diberikan keberanian untuk membongkar isu 1MDB.

Jelasnya, kegagalan pihak berkuasa tempatan menyegerakan siasatan kes 1MDB telah membuka ruang yang besar untuk Amerika Syarikat campurtangan dalam urusan negara ini.

“Cukuplah hidup dalam keadaan tangan dan kaki digari dan mata sekadar dapat terbeliak membiarkan kemungkaran yang besar berlalu manakala telinga terpaksa mendengar arahan untuk mengendalikan kemungkaran yang kecil.

“Walaupun kes DoJ masih di peringkat tuduhan, nasibnya kini bergantung pada kesetiaan Jho Low.

“Jika DoJ menawarkan satu jalan keluar untuk Jho Low dengan syarat beliau membongkar siapa di belakangnya, kemungkinan besar Jho Low akan mengambilnya dan ketika itu, segalanya akan terungkai,” ujarnya.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.