Logo
Print this page

Babi liar antara ancaman penetasan telur penyu di Pulau Tengah

Pulau Tengah yang terletak di perairan Laut China Selatan di pantai timur Johor merupakan sebuah pulau yang tidak berpenghuni yang menjadi tempat persinggahan penyu terutamanya penyu belimbing yang mendarat untuk bertelur.

Menurut Koordinator Pusat Pemuliharaan Penyu Batu Batu, Stephen Lee, tahun lalu pihaknya berjaya mendapat 5,000 telur penyu dan 50 peratus daripada jumlah tersebut berjaya menetas.

“Tahun lepas kami mendapat lebih 5,000 telur dan kira-kira 2,400 anak penyu. Oleh itu, kita menjangkakan kadar menetas sekitar 50 peratus..

“Jadi tahun ini kami ingin mempunyai lebih banyak telur dan kita mahu mempunyai 3,000 anak penyu,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini di pusat tersebut.

Menurut Stephen, sekiranya tiada sebarang usaha dilakukan untuk menyelamatkan telur penyu, hanya 10 peratus sahaja daripada keseluruhan jumlah telur penyu yang ada mampu menetas dengan selamat.

Sekiranya ada pihak yang menjumpai telur penyu kata Stephen, mereka akan menjual telur tersebut untuk mendapat keuntungan mudah tanpa mengira kesan kepupusan hidupan laut tersebut.

“Satu-satunya peluang untuk telur penyu menetas (jika tidak dikutip) adalah, jika air pasang, ia akan menghilangkan kesan ibu penyu yang bertelur di pantai. Ini akan menyebabkan telur penyu sukar dicari.

“Tetapi ada masalah lain juga. Babi liar yang berenang di sekitar pulau ini boleh bau telur,” katanya.

Bagaimanapun, Stephen gembira apabila usaha yang dilakukan oleh pihaknya mendapat sokongan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang melancarkan Program Pemuliharaan Penyu di Batu-Batu Resort tahun lalu.

“Kami mendapat sokongan daripada Jabatan Laut dan Jabatan Pelancongan Johor. Jabatan Perikanan juga bekerjasama dengan kami. Dan baru-baru ini, kami telah mendapat sokongan daripada Sultan Johor,” katanya.

Dengan adanya sokongan daripada Sultan Johor kata Stephen, ianya telah memudahkan usaha pemuliharaan penyu di Taman Laut Sultan Iskandar apabila penduduk tempatan turut bersama membantu usaha tersebut.

Mengulas mengenai kaedah anak-anak penyu dilepaskan ke laut, Stephen menjelaskan pihaknya akan melepaskan di beberapa lokasi berbeza di sekitar Taman Laut Sultan Iskandar.

“Pada satu masa, kita lepas di pantai ini (Pulau Tengah), kumpulan kedua kami lepaskan mereka di bahagian lain pantai dan kumpulan ketiga di pulau yang lain.

“Kami tidak mahu semua penyu dilepaskan di pantai yang sama kerana apa yang berlaku 30 tahun nanti, penyu-penyu dewasa yang bersedia untuk bersarang, akan kembali ke pantai mereka dilahirkan.

“Kita tidak mahu dalam tempoh 30 tahun akan datang, setiap penyu di Johor datang lagi ke sini ke tempat yang sama.

“Sebab itu, kita melepaskan mereka di tempat-tempat yang berbeza. Itulah sebabnya kita sedang membina sebuah pusat penetasan baru di Pulau Sibu dan beberapa pulau lain di Johor,” ujarnya.

 

SMASANEWS.com