Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

Empat 'Tan Sri' antara lebih 400 disiasat berhubung 1MDB

Adalah dipercayai bahawa individu-individu ini telah menerima dana daripada syarikat pelaburan negara itu. Adalah dipercayai bahawa individu-individu ini telah menerima dana daripada syarikat pelaburan negara itu.

Lebih 400 individu termasuk sekurang-kurangnya empat individu bergelar Tan Sri kini sedang disiasat berkaitan skandal 1MDB.

Sumber polis memberitahu Malaysiakini bahawa senarai itu termasuk pemimpin Umno dan ahli keluarga mereka.

Adalah dipercayai bahawa individu-individu ini telah menerima dana daripada syarikat pelaburan negara itu.

Daripada empat Tan Sri berkenaan, salah seorang daripada mereka merupakan ahli perniagaan dari Sarawak dan dipercayai sebagai rakan rapat Najib.

Tiga lagi termasuk penasihat bekas perdana menteri itu yang dipercayai telah mempengaruhi keputusan editorial media arus perdana sebelum ini, bekas pegawai kerajaan berpangkat tinggi dan pemimpin politik.

"Individu berprofil tinggi ini berada dalam senarai untuk disiasat setakat 2014.

"Tetapi pihak berkuasa tidak dapat meneruskan penyiasatan mereka," kata sumber itu.

Terdahulu, sebelum ini sebuah pasukan petugas ditubuhkan bagi menyiasat 'derma' RM2.6 bilion dan dana SRC International yang disalurkan ke akaun bank bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mempengerusikan pasukan petugas tersebut yang turut terdiri daripada bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akthar Aziz, bekas ketua polis negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan bekas ketua pesuruhnjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohammed.

Bagaimanapun, pasukan petugas itu menerima kritikan apabila Abdul Gani ditukarkan, menyebabkan spekulasi bahawa terdapat usaha untuk menyembunyikan skandal 1MDB.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Abdul Gani hampir mengenakan pendakwaan terhadap Najib sebelum beliau disingkirkan.

Pada masa ini, Abdul Gani dan Abu Kassim merupakan anggota pasukan petugas yang baru ditubuhkan semula bagi menyiasat skandal berkenaan.

Awal hari ini, pasukan petugas itu mengesahkan bahawa ia membekukan beberapa akaun milik Umno, parti politik dan individu lain untuk memudahkan siasatan.

Pada masa yang sama New Straits Times pula melaporkan kira-kira 900 akaun bank telah dibekukan.

Sementara itu, Najib sekali lagi menegaskan beliau tidak melakukan kesalahan dan menafikan menyalahgunakan dana awam untuk keuntungan peribadi.

Beliau mengulangi bahawa RM2.6 bilion yang diterima merupakan sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Bagaimanapun siasatan antarabangsa sebelum ini mendakwa wang berkenaan berasal daripada 1MDB. - Malaysiakini

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.