Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

Kerajaan mungkin jual barangan dirampas dari Najib - LGE

Jumlah barangan yang dirampas adalah tidak masuk akal walaupun bagi negara kaya seperti Amerika Syarikat. - Lim Guan Eng Jumlah barangan yang dirampas adalah tidak masuk akal walaupun bagi negara kaya seperti Amerika Syarikat. - Lim Guan Eng

Kerajaan akan berusaha menjual kebanyakan barangan mewah yang dirampas dari kediaman yang mempunyai kaitan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Bercakap kepada Associated Press (AP) dalam temu bual hari ini, Lim berkata barangan yang dianggarkan bernilai sehingga RM1.1 bilion itu, hanyalah sebahagian kecil daripada RM50 bilion yang didakwa disalahgunakan daripada 1MDB yang ditubuhkan Najib.

"Kita akan berusaha menukarkan kepada wang apa sahaja yang kita perolehi tetapi ingat ini sebenarnya tiada apa berbanding jumlah yang telah dirompak dari negara ini," katanya dipetik sebagai berkata.

Lim berkata beliau turut terkejut dengan jumlah rampasan yang dilakukan pihak polis.

Beliau merujuk kepada pengumuman Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh pada Rabu yang mendedahkan nilai barangan yang dirampas daripada enam kediaman yang dikaitkan dengan Najib bulan lepas bernilai sehingga RM1.1 bilion.

Barangan tersebut termasuk ribuan unit barangan kemas, beratus-ratus beg tangan, jam tangan dan cermin mata hitam.

Najib bagaimanapun mendakwa barangan rampasan itu merupakan hadiah dan menyatakan penilaian polis dibuat secara "subjektif dan tidak realistik".

Serbuan polis itu merupakan sebahagian daripada siasatan baru berhubung skandal 1MDB.

Lim berkata jumlah barangan yang dirampas adalah tidak masuk akal walaupun bagi negara kaya seperti Amerika Syarikat.

"Bagi negara kecil seperti Malaysia, ia benar-benar tak masuk akal," katanya.

Menurut Lim, tuduhan bahawa kira-kira RM2.6 bilion yang dikatakan milik 1MDB dimasukkan ke akaun peribadi Najib pada tahun 2015 adalah "pengubah permainan" (game changer) dalam skandal itu.

Inilah yang mendorong Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama-sama dengan "bekas musuh politiknya" (termasuk Lim sendiri) mengambil tindakan.

"Saya kata tidak ada orang yang bodoh memasukkan wang dalam akaun bank peribadinya, terutama jika anda merupakan seorang perdana menteri.

"Siapa yang bodoh untuk berbuat demikian? Tetapi apabila kami mendapati bahawa perkara itu memang benar, kami sangat terkejut," kata Lim.

Beliau menambah Najib akan terus merosakkan negara ini sekiranya memenangi pilihan raya umum pada 9 Mei lalu.

Lim memberitahu AP bahawa dengan membongkar beberapa fail rahsia sebelum ini di Kementerian Kewangan, pentabdiran kerajaan akan mendedahkan lebih banyak skandal mega yang dikaitkan dengan kerajaan diterajui BN sebelum ini.

Beliau menambah banyak "skandal mini 1MDB" akan dibongkar dari masa ke semasa.

Last modified onJumaat, 29 Jun 2018 21:14

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.