Dikemaskini 1:48 AM, 10 May, 2018
A+ A A-

"Nanti lepas ini boleh lagi bergambar" - Nik Omar elak bergambar bersama Nik Abduh

“Nanti lepas ini boleh lagi (bergambar).”

 

Demikian ujar calon pakatan pembangkang PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz semasa diminta bergambar dengan adiknya, Nik Abduh di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti, Kota Jembal di Kota Bharu hari ini.

Terdahulu, Nik Omar yang merupakan anak kedua Allahyarham Nik Abdul Aziz itu hadir ke pusat pengundian tersebut kira-kira pukul 7.30 pagi dan beliau merupakan pengundi pertama bagi saluran kedua.

Manakala, Nik Abduh yang merupakan calon Pas bagi kerusi Parlimen Bachok tiba di pusat pengundian sama pada pukul 8.17 pagi semasa wartawan sedang menemubual Nik Omar di luar perkarangan sekolah itu.

Semasa diminta untuk menunggu adiknya bagi jurugambar merakamkan gambar mereka berdua, Nik Omar menolak kerana perlu bergegas ke tempat lain.

“Nanti lepas ini boleh lagi (bergambar), banyak tempat perlu saya pergi hari ini (melawat pusat pengundian lain, lorat (perlu bergegas),” ujar Pengetua Maahad Darul Anuar, Pulau Melaka di sini ketika ditemui selepas beliau selesai mengundi.

Nik Omar semasa ditemubual berkata, dia boleh bertemu bondanya, Tuan Sabariah Tuan Ishak pada bila-bila masa dan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bukan medan untuk berbalah-balah.

“Bonda ini setiap masa boleh bertemu tiada masalah, cuma hari ini sibuk sikit. Alhamdulillah hari ini bermulanya proses pengundian untuk PRU-14, moga hari ini beroleh keberkatan semua calon ada keyakinan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Nik Abduh berkata, dia belum bertemu serta berhubung dengan abangnya sejak proses penamaan calon pada 28 April lalu.

“Ustaz Nik Omar seorang yang taat dengan bonda, ini (bertanding tiket PKR) adalah perkara pertama yang dilakukannya tidak mendapat persetujuan daripada bonda,” katanya.

Dalam pada itu, anak ketiga Allahyarham Nik Abdul Aziz, Nik Adli tiba untuk mengundi kira-kira pukul 8 pagi walaupun berselisih dengan Nik Omar tetapi kedua-dua mereka tidak bertegur sapa. - Kosmo Online

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.