Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

Jenazah Dr. Fadi akan dihantar pulang ke Palestin

Anwar H. Al Agha ketika tiba di Unit Forensik, Hospital Selayang hari ini. Anwar H. Al Agha ketika tiba di Unit Forensik, Hospital Selayang hari ini.

Jenazah Imam Palestin, Dr. Fadi M. R. Albatsh yang ditembak mati di Medan Idaman, Setapak pagi semalam disahkan akan dihantar pulang ke kampung halamannya di Palestin.

 

Duta Palestin ke Malaysia Datuk Dr. Anwar H. Al Agha berkata, pihaknya berhubung terus dengan keluarga Fadi di Palestin yang memohon agar jenazahnya dihantar pulang ke kampung halaman.

"Ketika ini kami sedang dalam proses bagi melengkapkan segala borang berkaitan yang diperlukan untuk menghantar jenazah Fadi ke Palestin.

"Proses ini juga dijangka akan mengambil sedikit masa memandangkan ia melibatkan kerjasama daripada pelbagai pihak," katanya dalam sidang akhbar sewaktu hadir ke Unit Forensik Hospital Selayang sebentar tadi.

Menurut Anwar, pihak kedutaan Palestin di Malaysia turut menerima arahan daripada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, agar menguruskan segala keperluan bagi penghantaran pulang jenazah Fadi serta isteri dan tiga anaknya.

"Walau bagaimanapun kita harus menghormati undang-undang di Malaysia serta Mesir dan mematuhi setiap proses yang harus dilalui bagi memudahkan urusan penghantaran pulang jenazah," katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan keyakinan mereka terhadap keupayaan Polis Diraja Malaysia dalam mengesan serta menghukum individu yang bertanggungjawab ke atas kejadian tersebut.

"Kami yakin dengan kemampuan polis Malaysia untuk menyiasat serta menyelesaikan kes ini dan sekali gus membawa pelaku ke muka keadilan," katanya. - Kosmo Online

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.