Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

Krisis air Selangor, peniaga rugi lebih RM100 juta

Lebih RM100 juta kerugian dialami oleh para peniaga di sekitar Lembah Klang disebabkan mereka terpaksa menghentikan operasi seketika berikutan krisis air yang berlaku sejak 6 Mac lalu.

 

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, pihaknya menggesa supaya satu unit tindakan khas ditubuhkan bagi menangani isu gangguan air tersebut.

Katanya, walaupun masalah air itu sering berulang hampir 20 tahun lalu, namun sehingga kini tiada satu jalan penyelesaian yang diambil sama ada oleh pihak kerajaan negeri mahupun Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) bagi mengatasi masalah itu.

“Minggu lepas, CASSA telah menghantar satu usul kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk merayu baginda mendirikan unit tindakan khas yang terdiri daripada golongan pakar, ahli CASSA dan juga pegawai daripada kerajaan pusat serta negeri.

“Isu ini bukannya baru terjadi dan sepatutnya boleh diselesaikan dari dulu lagi. Perkara ini jelas menjejaskan rutin harian penduduk di sekitar kawasan yang terjejas sehingga ada yang sanggup ‘lari’ ke Seremban dan sempadan Perak semata-mata untuk mencari air,” katanya memetik laporan Utusan Online.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gangguan air yang memberi kesan teruk kepada lebih dua juta penduduk di sekitar Lembah Klang akibat penyelenggaraan berjadual di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Sharin Darus mencadangkan kerajaan Selangor menyerahkan tanggungjawab menguruskan air kepada kerajaan pusat yang dilihat lebih cekap dalam menangani isu berkenaan.

“Sampai bila peniaga nak alami perkara yang sama kerana isu air ini tidak pernah selesai? Kalau kerajaan negeri Selangor tidak mampu menyelesaikan isu ini, jalan terbaik adalah dengan serahkan sahaja kepada pihak kerajaan pusat yang boleh mengendalikannya.

“Kami juga berharap perkara ini tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan kerana ia banyak menjejaskan pendapatan para peniaga dan penjaja,” katanya.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.