Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

Polis tahan pesakit mental larikan ambulans dari hospital

Seorang pesakit mental (gambar kecil) ditahan selepas melarikan sebuah ambulans di Kuching. Seorang pesakit mental (gambar kecil) ditahan selepas melarikan sebuah ambulans di Kuching.

Seorang pesakit yang disyaki mempunyai masalah mental berjaya ditahan selepas melarikan sebuah ambulans dari Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching pada Selasa.

 

Suspek berusia 36 tahun dari Kampung Siol Kandis diberkas kira-kira pukul 1.50 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Abang Junaidi Abang Annuar mengesahkan penahanan lelaki tersebut.

Katanya, sebelum itu, suspek dikatakan telah dimasukkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan di situ semalam.

"Bagaimanapun, suspek bertindak melarikan sebuah ambulans milik pusat perubatan pakar swasta selepas petugas terbabit membawa pesakit masuk ke dalam HUS kira-kira pukul 12.50 tengah hari.

"Namun, selepas sejam memburu suspek, pasukan polis kemudian menemui ambulans terbabit ditinggalkan di tepi Jalan Green berhampiran Wisma Saberkas di sini," katanya, memetik laporan Kosmo Online.

Mengulas lanjut, Abang Junaidi memberitahu, menyedari dirinya diburu polis, suspek bertindak keluar dari kenderaan itu dan melarikan diri ke dalam pusat membeli belah di Wisma Saberkas.

"Usaha suspek untuk meloloskan diri daripada polis gagal apabila dia ditahan di kawasan HUS.

"Kita syaki suspek berlari semula ke HUS dari pusat membeli belah itu sebelum dia berjaya diberkas," katanya lagi.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.