Dikemaskini 9:43 AM, 20 Feb, 2018
A+ A A-

Sarawak meterai perjanjian dengan Petronas, bakal peroleh 10% ekuiti

Di bawah perjanjian tersebut, Sarawak akan memperoleh kepentingan ekuiti sebanyak 10% dalam PL9SB. Di bawah perjanjian tersebut, Sarawak akan memperoleh kepentingan ekuiti sebanyak 10% dalam PL9SB.

Kerajaan Sarawak hari ini memeterai perjanjian dengan Petronas bagi penyertaan ekuiti dalam Petronas LNG 9 Sdn Bhd (PL9SB), yang memiliki kemudahan pencecairan kesembilan (Train 9) gas asli cecair (LNG) di Bintulu, Sarawak.

Di bawah perjanjian tersebut, Sarawak akan memperoleh kepentingan ekuiti sebanyak 10% dalam PL9SB.

Pada majlis itu, kerajaan negeri diwakili oleh Setiausaha Kewangan Negeri Ahmad Tarmizi Sulaiman manakala Petronas diwakili oleh Naib Presiden Kanan Strategi Korporat, M Firouz Asnan.

Ia disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Pada sidang media kemudiannya, Abang Johari melahirkan penghargaan kepada Petronas bagi penyertaan Sarawak dalam PL9SB.

Beliau berkata langkah itu merupakan antara cara Sarawak dan Petronas dapat bekerjasama susulan syarikat minyak nasional itu telah mengambil kira kepentingan negeri untuk mengambil bahagian dalam aktiviti hiliran.

Sementara itu, Petronas dalam kenyataan yang dikeluarkan pada majlis itu berkata dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 3.6 juta tan setahun (mtpa), Train 9 memulakan operasi komersialnya pada Januari 2017 dan meningkatkan jumlah kapasiti pengeluaran Petronas LNG Complex kepada 30 mtpa.

“Acara hari ini menggariskan kerjasama yang panjang antara kerajaan negeri dan Petronas, terutamanya dalam membangunkan dan menambah nilai kepada sumber hidrokarbon di Sarawak,” menurut Petronas.

Pada majlis sama, Petronas Chemicals Marketing Labuan (PCML) Ltd dan Hubline Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) kerjasama logistik yang membolehkan Hubline menyertai panel pengangkutan produk petrokimia PCML.

MoU itu ditandatangani oleh Pengerusi Hubline, Ibrahim Baki dan Naib Pengerusi, Richard Wee manakala PCML diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shamsairi M Ibrahim, dan Ketua Bekalan dan Pengedaran, Normah Basri.

Hubline, sebuah syarikat senaraian awam yang berpangkalan di Sarawak, dan terlibat dalam industri perkapalan. Ia memberi tumpuan kepada penghantaran pukal kering selama hampir 20 tahun dan kini merancang untuk mengembangkan perkhidmatan penghantaran kimia cecairnya dan menjangka hubungan jangka panjang yang positif dengan PCML.

Ibrahim berkata dengan kerjasama PCML, Hubline berharap dapat memperluaskan capaiannya ke pasaran seperti Australia, New Zealand dan China, kawasan yang Petronas turut membekalkan produk seperti urea. – Bernama

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.