Dikemaskini 1:48 AM, 10 May, 2018
A+ A A-

Dr Mahathir tawaran terbaik Pakatan, kata Azmin

Pengerusi PH Selangor itu berkata, keutamaan yang harus diberi perhatian adalah cadangan PH menamakan Dr Mahathir sebagai perdana menteri itu mampu meyakinkan rakyat untuk memilih mereka bagi menggantikan Barisan Nasional (BN). Pengerusi PH Selangor itu berkata, keutamaan yang harus diberi perhatian adalah cadangan PH menamakan Dr Mahathir sebagai perdana menteri itu mampu meyakinkan rakyat untuk memilih mereka bagi menggantikan Barisan Nasional (BN).

Pencalonan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri adalah tawaran terbaik yang mampu pembangkang berikan untuk rakyat ketika ini, kata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Pengerusi PH Selangor itu berkata, keutamaan yang harus diberi perhatian adalah cadangan PH menamakan Dr Mahathir sebagai perdana menteri itu mampu meyakinkan rakyat untuk memilih mereka bagi menggantikan Barisan Nasional (BN).

"Kita bukan paksa rakyat untuk terima tetapi tawaran kami inilah yang terbaik yang boleh kami tawarkan ketika ini.

"Ini hanya cadangan oleh PH dan keutamaannya adalah turun ke bawah dan yakinkan rakyat ini adalah tawaran PH untuk rakyat dan kalau rakyat boleh menerima individu berusia 93 tahun sebagai perdana menteri kenapa tidak?" katanya, ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan Masjid Zakaria di Gombak, hari ini.

Dr Mahathir diumumkan sebagai calon perdana menteri PH sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) digandingkan bersama Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya.

PH juga akan mendapatkan pengampunan diraja untuk Anwar Ibrahim sebaik sahaja memerintah dan melantik ketua umum PKR itu sebagai perdana menteri bagi menggantikan Dr Mahathir.

Timbalan presiden PKR itu berkata, soal calon perdana menteri adalah soal individu dan tumpuan harus diberikan kepada manifesto mereka dalam Muafakat PH yang diumumkan ketika konvensyen pembangkang minggu lalu di Shah Alam.

"Janganlah fokus hanya jawatan saja sedangkan tawaran diberi di konvensyen itu banyak.

"Mengapa nak tumpukan pada sorang individu. Kita tak boleh terlalu tumpu kepada individu, kita kena tumpu pada satu pasukan.

Azmin berkata, rakyat tidak memilih atas nama individu tetapi satu pasukan yang mampu memberi sumbangan kepada mereka.

Pada 8 Januari lalu, Pemuda PKR Selangor menyeru penyokong PH menerima keputusan pemilihan Dr Mahathir itu sebagai respon kepada kenyataan sehari sebelum, juga oleh PKR Selangor yang menyatakan "pendirian yang berbeza" tidak setuju dengan keputusan gabungan pembangkang itu.

"Saya seru seluruh pendukung perjuangan untuk berjiwa besar menerima keputusan ini dan kembali fokus kepada agenda utama untuk menumbangkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Hentikan segera polemik ketidakpuasan hati kerana ia akan menjejaskan kestabilan politik Pakatan Harapan," kata Setiausaha Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman dalam satu kenyataan media.

Sehubungan itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, bantahan dari kalangan pemimpin parti itu bukanlah perkara yang perlu dibimbangkan.

Katanya, PKR meraikan bantahan tersebut dalam semangat kebebasan bersuara dan kini tiba masa untuk memfokuskan kepada pilihan raya.

Justeru, hari ini Azmin berkata, pemilihan individu pemimpin tidak sepenting sokongan oleh rakyat.

"Orang lama, baru, berumur, muda semua penting. Kalau rakyat lihat kita pasukan kuat mereka akan sokong.

"Rakyat tidak pilih individu, rakyat pilih satu pasukan, itu mesej saya kepada rakyat," katanya.

Tambahnya, bagi memenangi pilihan raya, sokongan ahli PKR semata-mata tidak akan berjaya sebaliknya rakyat perlu memilih mereka bagi menjadikan impian memenangi Putrajaya satu realiti.

"Bukan hanya ahli PKR. Untuk memenangi pilihan raya kita perlu yakinkan rakyat.

"Ahli PKR sahaja tidak cukup untuk menang pilihan raya, kita perlu turun ke bawah dan bekerja keras yakinkan rakyat inilah tawaran terbaik kita, bukan setakat calon perdana menteri sahaja tetapi tawaran-tawaran dalam manifesto itu pun penting," kata Azmin. -The Malaysian Insight

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.