Dikemaskini 2:52 AM, 16 Jan, 2018
A+ A A-

Majlis Peguam tak profesional, kata Azalina

Beliau berkata ketidakhadiran badan berkenaan ke acara tahunan badan kehakiman itu juga menunjukkan mereka tidak menghormati salah satu cabang persekutuan negara. Beliau berkata ketidakhadiran badan berkenaan ke acara tahunan badan kehakiman itu juga menunjukkan mereka tidak menghormati salah satu cabang persekutuan negara.

Tindakan Majlis Peguam Malaysia untuk tidak hadir ke majlis Pembukaan Tahun Kehakiman 2018 disifatkan sebagai tidak profesional, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman.

Beliau berkata ketidakhadiran badan berkenaan ke acara tahunan badan kehakiman itu juga menunjukkan mereka tidak menghormati salah satu cabang persekutuan negara.

"Majlis Pembukaan Tahun Kehakiman ini telah dianjurkan sejak tahun 2010 lagi dan menjadi satu tradisi kepada semua pengamal undang-undang di negara ini untuk sama-sama menyertai upacara tersebut.

"Alasan yang diberikan oleh Majlis Peguam Malaysia untuk tidak hadir ke majlis ini amatlah tidak berasas kerana pada tahun ini selain Majlis Peguam Malaysia, Peguam Negara juga tidak berucap namun tetap hadir ke majlis yang bermakna ini.

"Malah Pertubuhan Undang-Undang Sabah dan Persatuan Peguambela Sarawak turut hadir ke majlis hari ini," katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Azalina Majlis Peguam Malaysia yang mewakili kira-kira 17,000 pengamal undang-undang di Semenanjung sepatutnya berpegang kepada profesionalisme yang tinggi dan tidak terikat dengan apa-apa pegangan peribadi.

"Majlis Peguam Malaysia seharusnya menunjukkan contoh terbaik kepada pengamal undang-undang di negara ini, kerana ketidak hadiran mereka telah memberi imej yang buruk kepada organisasi tersebut," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau menyambut baik ucapan Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif yang membawa tema “Enhancing Acces to Justice Through Judicial Transformation”.

"Kerajaan hari ini begitu terbuka dalam melaksanakan pelbagai transformasi perundangan di samping memastikan rakyat mendapat akses terbaik kepada keadilan," katanya.

Beliau turut berterima kasih atas komitmen Badan Kehakiman terhadap usaha-usaha kerajaan terutamanya dalam memastikan kes yang didaftarkan di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak diselesaikan dengan cepat selain meneruskan sistem E-Kehakiman untuk memudahkan proses dalam perkhidmatan kehakiman.

"Usaha-usaha ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa memberi keutamaan tinggi dalam transformasi perundangan dalam negara," katanya.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.