Dikemaskini 3:49 AM, 15 Dec, 2017
A+ A A-

SPRM gesa k’jaan Selangor jangan lengah meterai IBR

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya masih menunggu kata putus dari kerajaan Selangor untuk menyertai negeri-negeri lain yang menandatangi ikrar tersebut bagi menunjukkan pentadbiran negeri itu bersih serta bebas daripada gejala rasuah serta salah guna kuasa. Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya masih menunggu kata putus dari kerajaan Selangor untuk menyertai negeri-negeri lain yang menandatangi ikrar tersebut bagi menunjukkan pentadbiran negeri itu bersih serta bebas daripada gejala rasuah serta salah guna kuasa.

Kerajaan Selangor tidak seharusnya melengah-lengahkan untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang belum dimuktamadkan sehingga kini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya masih menunggu kata putus dari kerajaan Selangor untuk menyertai negeri-negeri lain yang menandatangi ikrar tersebut bagi menunjukkan pentadbiran negeri itu bersih serta bebas daripada gejala rasuah serta salah guna kuasa.

"Saya yakin bukannya kepimpinan negeri Selangor tidak mahu tetapi mungkin hendak mencari tarikh yang sesuai...jadi kita minta cepat sikit.

“Perbincangan telah diadakan namun mereka hendak mendapatkan tarikh yang sesuai. Mungkin kerana Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) agak sibuk.

“Hari ini pun beliau tidak dapat hadir pada majlis perasmian ini," katanya selepas pelepasan konvoi Kembara Jelajah Anti Rasuah (KEJAR 17) sempena Ulang Tahun Jubli Emas BPR/SPRM ke-50 Peringkat Negeri Selangor di Petaling Jaya, semalam.

Pelepasan tersebut disempurnakan Tengku Indera Setia Selangor Tengku Ahmad Shah melibatkan penyertaaan 40 motosikal berkuasa tinggi dan sebuah bas yang dinaiki kepimpinan tertinggi dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dzulkifli berkata setelah IBR ditandatangani, pihak terlibat perlu mengikuti program-program sistem dan prosedur yang ditetapkan bagi memastikan pentadbiran mereka bebas daripada gejala tersebut.

Sebelum ini, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah berkata sehingga kini, 90 organisasi negeri dan persekutuan di Selangor sudah menandatangani IBR, malah jumlah komitmen yang ditunjukkan di sini adalah yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain namun kerajaan Selangor belum memberi kata putus.

Pada 7 Sept lalu, Bernama melaporkan kerajaan negeri Selangor masih enggan memuktamadkan sama ada akan menandatangani IBR meskipun SPRM beberapa kali menggesa kerajaan negeri berbuat demikian sebelum ini.

Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata mekanisme yang digunapakai kerajaan negeri ketika ini untuk mencegah rasuah adalah lebih efektif berbanding IBR yang dilaksanakan di negeri-negeri lain.

Menyentuh mengenai konvoi tersebut, Dzulkifli berkata ia dilaksanakan untuk bertemu masyarakat di seluruh negara sebagai tanda terima kasih atas sokongan kepada SPRM yang dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) sejak 50 tahun lalu.

"Program yang julung kali diadakan bermula hari ini akan meneruskan perjalanan ke Teluk Kemang, Port Dickson dan disambut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada sebelah petang nanti," katanya.

Beliau berkata pada sebelah malam pula, konvoi akan berhenti di perkampungan Portugis di Melaka untuk melaksanakan program bersama rakyat Malaysia berketurunan Portugis sebelum meneruskan konvoi ke Johor esok.

Beliau berkata, konvoi akan diteruskan melalui seluruh pelusuk negara sehingga 30 Sept.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.