Dikemaskini 3:49 AM, 15 Dec, 2017
A+ A A-

UMNO Pagoh faham perjuangan parti, kata Mohamed Khaled

Mohamed Khaled berkata bahagian tersebut, yang sinonim dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tahu keutamaan yang harus diberikan dalam landasan perjuangan. Mohamed Khaled berkata bahagian tersebut, yang sinonim dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tahu keutamaan yang harus diberikan dalam landasan perjuangan.

UMNO Bahagian Pagoh mendapat pujian dari Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kerana membuat keputusan yang sukar, untuk kekal bersama parti.

Mohamed Khaled berkata bahagian tersebut, yang sinonim dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tahu keutamaan yang harus diberikan dalam landasan perjuangan.

"UMNO Pagoh tahu, dalam perjuangan, kesetiaan pada perjuangan itu mutlak. Ia tidak boleh dikompromi. Ia tidak boleh dijual beli. Ia tidak seharusnya ditukar ganti.

"Maka UMNO Pagoh membuat keputusan paling sukar, namun tepat. Iaitu untuk kekal setia dengan parti," Mohamed Khaled berkata dalam ucapannya di Persidangan UMNO Bahagian Pagoh 2017 hari ini.

Mohamed Khaled, yang juga pengerusi badan perhubungan UMNO negeri Johor berkata beliau memahami kekosongan yang ditinggalkan oleh Muhyiddin, yang kini menjadi presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), setelah dipecat dari jawatannya selaku Timbalan Presiden UMNO.

Muhyiddin turut dilucutkan jawatan timbalan perdana menteri yang disandangnya sebelum itu, setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melakukan rombakan Kabinet.

"Benar, bagi sesetengah kita, sangat terasa lainnya bila tiada Tan Sri Muhyiddin. Kami di Johor semua merasainya juga.

"Malah dalam ucapan saya tahun lepas, saya tidak pernah berselindung dengan perasaan kita di Johor terhadap Tan Sri Muhyiddin. Hormat kita atas jasanya tidak sama sekali akan terkurang. Tidak akan sama sekali susut.

"Tetapi membelakangkan UMNO tidak sekali. Meninggalkan bahtera bangsa ini, pantang berlaku," tegas Mohamed Khaled.

Beliau berkata UMNO Pagoh berjaya menonjolkan cara Johor dalam menangani krisis pemecatan tersebut.

"Kita rasional. Kita tidak terbawa dengan perkara yang sentimental. Kita teguh dengan perjuangan.

"Dan anda semua telah mengutamakan parti dari seorang individu. Tanpa sedikit pun melupakan jasa individu itu.

"Pagoh telah melakukan tindakan paling terhormat. Paling mulia. Paling harus diteladani. Inilah cara Johor," katanya.

Beliau turut berkata bahawa UMNO Johor beruntung kerana krisis di Pagoh tidak merebak ke bahagian-bahagian lain seperti yang berlaku 20 tahun lalu di Permatang Pauh, yang menyaksikan UMNO berpecah setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan perdana menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohamed Khaled berkata perpecahan UMNO tersebut menyebabkan Barisan Nasional (BN) hilang sokongan Melayu yang sangat besar dalam Pilihan Raya Umum ke-10.

Tindakan UMNO Pagoh yang kekal setia dengan bukan sahaja terus mengukuhkan parti tersebut, bahkan, kesatuan Melayu Johor juga terus kekal kuat, Mohamed Khaled menambah.

Persidangan UMNO Bahagian Pagoh 2017 hari ini dirasmikan oleh pemangku Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.