Logo
Print this page

DAP tolak cadangan PPBM mahu dua jawatan utama Harapan

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baru ditubuhkan kurang daripada setahun tidak boleh memonopoli jawatan utama Pakatan Harapan tegas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kemungkinan jawatan Pengerusi dan Presiden Pakatan Harapan akan diisi oleh Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya tidak akan bersetuju jawatan pengerusi dan presiden (Pakatan Harapan) diisi oleh PPBM. Ini adalah suatu monopoli dan penguasaan kawalan," katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur pada Rabu.

Jelas Guan Eng, Pakatan Harapan ketika ini masih belum lagi membuat keputusan muktamad mengenai barisan kepimpinan yang akan menerajui gabungan parti baru itu dan ia perlu dibuat secara konsensus.

"Saya tidak tahu bagaimana cadangan ini boleh bocor kepada media," katanya.

PPBM sebelum ini mencadangkan pemimpinnya Tun Mahathir dan Muhyiddin dilantik sebagai Pengerusi dan Presiden Pakatan Harapan, dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR sebagai Penasihat.

Dalam cadangan PPBM untuk barisan Majlis Presiden Pakatan Harapan rasmi tersebut, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah dilantik menjadi Timbalan Pengerusi pakatan pembangkang, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden Pakatan Harapan dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu sebagai Naib Presiden parti itu.

SMASANEWS.com