Logo
Print this page

Pimpinan PH jangan tuba racun perlakuan silam Tun Mahathir - Syed Saddiq

Pemimpin-pemimpin tertinggi PPBM itu ‘terperangkap’ dan ‘dipaksa’ oleh PKR untuk menyatakan sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah dan Anwar sebagai calon Perdana Menteri ke-7. Pemimpin-pemimpin tertinggi PPBM itu ‘terperangkap’ dan ‘dipaksa’ oleh PKR untuk menyatakan sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah dan Anwar sebagai calon Perdana Menteri ke-7.

Tindakan PKR menayangkan video zaman reformasi di Kongres Nasional PKR minggu lalu, yang menyaksikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘dipenjarakan’ oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad nyata mengundang rasa tidak senang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata PKR tidak sewajarnya menyerangkan Tun Mahathir yang buat pertama kalinya hadir ke kongres parti yang ditubuhkan untuk menjatuhkan beliau suatu ketika dahulu.

“Namun apa yang berlaku di Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah amat sedih dan mengecewakan sekali.

“Tun Mahathir dan PPBM jelas diserang, kongres yang seharusnya mampu dijadikan medan penyatuan untuk mengikat jiwa yang terpisah bertukar menjadi medan melempias kekecewaan dan kemarahan lampau tanpa sedikitpun memikirkan soal sensitiviti semasa dalam misi bersama dalam Pakatan Harapan untuk menawan Putrajaya,” katanya dalam surat terbuka kepada pimpinan tertinggi Pakatan Harapan.

Menurut Syed Saddiq, keikhlasan Tun Mahathir, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyokong usaha pembebasan Anwar juga tidak dipandang oleh pimpinan Pakatan Harapan.

Sebaliknya, pemimpin-pemimpin tertinggi PPBM itu ‘terperangkap’ dan ‘dipaksa’ oleh PKR untuk menyatakan sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah dan Anwar sebagai calon Perdana Menteri ke-7.

“Walhal tiada sebarang perbincangan apatah lagi kesepakatan yang dicapai mengenai siapa yang bakal menjadi perdana menteri. Apabila mereka tidak mengangkat plakad seperti pimpinan tertinggi yang lain, mereka dimalukan di depan khalayak umum.

“Ahli Parlimen DAP, Charles Santiago siap melabel Tun Mahathir & PPBM sebagai, “New kid on the block”, sekaligus berkata bahawa kita perlu terus akur kepada keputusan yang dibuat oleh Pakatan Harapan sebelum ini yang mengangkat Wan Azizah dan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

“Apakah motif tindakan tersebut? Adakah suatu kepuasan dan kebanggaan bagi mereka di sebalik tindakan ini yang dapat memalukan Tun, Tan Sri Muhyiddin dan PPBM? Adakah mereka tidak mahu lagi bekerjasama dengan PPBM? Sejauh mana keikhlasan mereka menerima PPBM dalam Pakatan Harapan?.

“Atau pimpinan Pakatan Harapan lebih sibuk menuba racun kesumat atas perlakuan silam sedangkan rakyat terkapai-kapai menaruh harap. Dalam keadaan UMNO-BN hari ini begitu lemah dengan pelbagai skandal yang terpalit, seharusnya inilah masa yang terbaik untuk kita menunjukkan kesatuan dan menjaga kerukunan untuk menjatuhkan UMNO-BN dalam satu kekuatan. Bukannya mengambil kesempatan untuk mencalar perhubungan dan menduga kesetiaan,” katanya.

Syed Saddiq mengakui sukar bagi beliau untuk memahami keperihan yang dilalui oleh ahli-ahli PKR suatu ketika dahulu tetapi mereka tidak seharusnya begitu taksub sehingga soal perlembagaan, undang-undang dan strategi memenangi pilihanraya diabaikan.

“Memang susah untuk ditelan setelah ada kenangan pahit yang pernah dilalui, namun adilkah apabila dalam kalangan ahli dibiarkan untuk terus disemarak api kebencian dan dendam andai kiranya kesalahan yang suatu masa pernah dilakukan bapak-bapak kita hingga rakyat terhukum?

“Hal yang pernah terjadi sememangnya menyakitkan, tiada penafian! Namun ini mungkin pengorbanan terbesar kita sendiri dalam kita sama mencari kesepaduan demi masa depan lantas keluar dari sengketa silam. Jika tidak, sampai bila? Susah tapi tak mustahil!,” ujarnya.

 

SMASANEWS.com