Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

Buat keputusan sendiri, bukan ikut 'cai'

Senarai calon MT pada kali ini mempunyai pelbagai lapisan berbanding sebelum ini hanya orang yang sama bertanding. - Tengku Putra Haron Senarai calon MT pada kali ini mempunyai pelbagai lapisan berbanding sebelum ini hanya orang yang sama bertanding. - Tengku Putra Haron

Perwakilan diingatkan agar tidak menerima cai (senarai perlu pilih) untuk memilih calon Pemilihan Umno esok dalam membuat keputusan menentukan kepimpinan parti.

Calon Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat berkata, perwakilan dinasihatkan tidak bergantung kepada cai yang diberikan kerana ia adalah satu penghinaan kepada diri sendiri.

Menurutnya, beliau mengajak semua perwakilan membuat cai sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak dalam menentukan kepimpinan yang mereka fikir layak.

“Kita nak pilih mereka yang menentukan hala tuju Umno dan perbaiki keadaan selain menunjukkan demokrasi kepimpinan.

“Saya tidak menafikan ada demokrasi tetapi yang sebenarnya di belakang tabir mereka akan menggunakan ketua cawangan, sayap-sayap untuk mempengaruhi keputusan termasuklah menggunakan emosi dan psikologi,” katanya dalam FB Live Sinar Harian hari ini.

Tengku Putra Haron berkata, senarai calon MT pada kali ini mempunyai pelbagai lapisan berbanding sebelum ini hanya orang yang sama bertanding.

Katanya lagi, hak memilih perlu dihayati oleh perwakilan kerana itu adalah hak mereka dan tidak perlu diberikan kepada orang lain untuk dipengaruhi.

“Zaman dahulu memang kita susah nak berubah sebab kita di tampuk kuasa dan menganggap akan berkuasa sampai bila-bila. Jadi sebab kita berkuasa seperti itu susah kita nak perkenalkan muka baharu atau calon muda kerana mereka tentukan orang yang sama.

“Hari ini ALLAH SWT telah beri hikmah kepada Umno di mana kekalahan itu jangan dianggap sebagai bala tetapi sebagai rahmat untuk pemimpin muhasabah diri mereka untuk berubah, jika masih lagi tidak berubah kita semua akan rebah,” katanya.

Bekas Adun Kempas itu berkata, Umno perlu membuat perubahan apabila melihat kepimpinan semasa kekalahan yang lalu di mana nama-nama memegang jawatan di atas memegang kuasa.

Katanya, selepas tiga minggu kekalahan ahli-ahli Umno beliau masih menunggu perutusan rasmi daripada pucuk pimpinan pusat untuk meredakan kegusaran di bawah ini kerana pada waktu itu hilang kuasa.

“Tetapi berita yang dibesarkan hanyalah orang Melayu sudah menolak Umno, ahli Umno lompat ke Bersatu dalam keadaan Perdana Menteri dalam kalangan Bersatu dan masih membesarkan cerita itu.

“Seharusnya pucuk pimpinan memberi perutusan untuk meredakan keadaan kepada ahli-ahli maklumkan kita masih tertinggi di mana Umno masih pilihan dan mendapat sokongan orang Melayu,” katanya yang sedih apabila tiada perutusan daripada pihak tertinggi sehingga hari ini kepada ahli parti tetapi arahan supaya mereka perlu muhasabah diri.

Beliau menegaskan muhasabah diri yang dimaksudkan itu perlu ditujukan kepada kepimpinan tertinggi bukannya pimpinan bawahan. - Sinar Harian

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.