Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

Lepas diumum calon MB, Nik Omar seru undi HARAPAN

Selepas dinamakan sebagai calon Menteri Besar Kelantan, Nik Omar Nik Abdul Aziz menyeru seluruh rakyat Malaysia agar mengundi Pakatan Harapan (HARAPAN) pada 9 Mei ini.

Menurut Nik Omar yang merupakan anak kepada bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, seluruh pengundi tanpa mengira agama dan kefahaman perlu memberi peluang kepada HARAPAN mengurus tadbir negara.

Malah, calon HARAPAN bagi DUN Chempaka itu berkata, rakyat juga perlu memberi peluang pakatan itu menyelamatkan negara daripada "muflis" kelak.

"Saya merayu kepada seluruh pengundi di Malaysia tanpa mengira agama, tanpa mengira kefahaman, tanpa mengira sentimen, membuat keputusan bulat, tekad dan beri peluang kepada kepimpinan Pakatan Harapan untuk urus tadbir negara ke arah yang lebih baik bagi menyelamatkan negara daripada muflis.

"Kita harap inilah peluang rakyat Malaysia untuk memikirkan peluang terbaik, kesinambungan yang lebih baik pada masa akan datang dengan cara kita membulat keazaman kita untuk memberi undi kita kepada Pakatan Harapan," katanya.

Nik Omar berkata demikian dalam perutusan dan tazkirah ringkas di Facebook Live miliknya selepas solat maghrib tadi.

Terdahulu hari ini Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Husam Musa mengesahkan Nik Omar adalah calon HARAPAN untuk jawatan menteri besar Kelantan.

Bercakap di Kota Bharu, Husam berkata Nik Omar adalah ikon penting untuk parti itu.

Nik Omar sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada HARAPAN dan diumum sebagai calon bagi DUN Chempaka pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

DUN Chempaka merupakan kerusi tradisi allahyarham bapanya yang memegang jawatan sebagai menteri besar Kelantan selama lebih dua dekad.

Menerusi AMANAH, anak kedua daripada 10 beradik itu disebut-sebut bakal membawa legasi Nik Aziz dan perjuangan Islam yang menggunakan pendekatan lebih sederhana.

Bagaimanapun penyertaan Nik Omar bersama HARAPAN menerima kritikan hebat daripada pimpinan PAS, termasuk daripada adiknya sendiri, Nik Abduh. -Malaysiakini 

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.