Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

Mat Sabu sah bertanding kerusi Parlimen Kota Raja

Presiden Amanah Nasional, Mohamad Sabu atau dikenali Mat Sabu sah bertanding untuk kerusi Parlimen Kota Raja pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei ini.

 

Pengumuman tersebut dibuat Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim dalam satu majlis di pejabat parti itu di Shah Alam sebentar tadi.

Dalam pada itu, Izham turut mengumumkan empat calon yang akan bertanding untuk kerusi Parlimen Selangor dan 10 calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-14.

Empat calon itu ialah Dr. Dzulkefly Ahmad yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Selangor dan Hasanuddin Mohd. Yunus (Hulu Langat), Khalid Samad (Shah Alam) dan Mohamed Hanipa Maidin (Sepang).

Sementara itu, 10 calon untuk kerusi DUN ialah Ahmad Mustain Othman (Sabak), Mariam Abdul Rashid (Sungai Panjang), Mohd. Amran Sakir (Hulu Bernam), Mohd. Sany Hamzan (Taman Templer) dan Saari Sungib ( Hulu Klang).

Selain itu, Ir. Izham ( Pandan Indah), Mazwan Johar (Sungai Ramal), Dr. Siti Mariah Mahmud ( Seri Serdang), Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar (Meru) dan Hasnul Baharuddin (Morib).

Dalam pada itu, Izham berkata, rundingan agihan kerusi-kerusi DUN dalam kalangan parti-parti komponen gabungan pakatan pembangkang telah dimuktamadkan pada 18 April lalu.

Katanya, semua calon daripada Amanah yang bakal bertanding mewakili gabungan pakatan pembangkang dalam PRU-14 akan menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti yang telah diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatam Harapan.

Sementara itu, Mohamad Sabu ketika ditanya tindakannya bertanding di Parlimen Kota Raja adakah kerana kerusi itu 'selamat' memandangkan penyandangnya Mariah Mahmud menang besar pada PRU-13.

"Saya disyorkan oleh parti untuk bertanding di Kota Raja. Soal selamat atau tidak, bergantung pada sokongan.

"Kita kena bekerja kuat dan 'menjual diri' kepada rakyat," katanya.

Pada PRU-13, Mat Sabu tewas dengan majoriti 2,638 undi kepada calon Barisan Nasional, Datuk Othman Abdul di kerusi Parlimen Pendang, Kedah.

Mariah pada pilihan raya lalu menang dengan majoriti besar iaitu 29,395 mengalahkan calon BN, S. Murugesan. - Kosmo Online

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.