Dikemaskini 6:21 AM, 20 Apr, 2018
A+ A A-

Hadi patut jadi ustaz, bukan berpolitik, kata Tun M

Abdul Hadi dilihat tiada kepakaran dalam bidang politik dan perlu memfokuskan dirinya dalam ajaran agama dengan merujuk kitab al-Quran. Abdul Hadi dilihat tiada kepakaran dalam bidang politik dan perlu memfokuskan dirinya dalam ajaran agama dengan merujuk kitab al-Quran.

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad memulangkan “paku buah keras” dengan mengesyorkan kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya berhenti berpolitik dan sebaliknya mengajar ilmu agama yang betul.

Katanya, Abdul Hadi dilihat tiada kepakaran dalam bidang politik dan perlu memfokuskan dirinya dalam ajaran agama dengan merujuk kitab al-Quran.

"Dia (Abdul Hadi) sepatutnya jadi ustaz, bukan masuk politik, dia ajar di kampung-kampung yang mana dia cukup layak tetapi dalam bidang politik dia tidak tahu apa-apa, jauh sekali dalam bidang pentadbiran, bila dia dapat Terengganu dia tadbir apa jadi pada Terengganu?

"Sebab itu saya nasihat Abdul Hadi tolonglah awak balik ke sekolah-sekolah dan ajar agama, tetapi agama yang betul bukan agama mengkafir, itu tidak penting, kalau dia tidak tahu cukup pasal agama Islam, saya boleh bagi dia rujuk al-Quran.

"Mengkafirkan orang Islam adalah satu perkara yang dilarang jadi saya fikir dia patut juga pergi belajar lagi supaya fahaman Islam dia lebih mendalam dan balik sini kalau dia pandai kita beri dia jadi pensyarah di universiti Islam,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat PPBM, hari ini.

Bekas perdana menteri selama 22 tahun itu berkata demikian ketika mengulas sindiran Abdul Hadi supaya beliau berkhidmat di Klinik 1Malaysia berbanding menyertai pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini.

Abdul Hadi dilaporkan turut bersimpati kepada Dr Mahathir kerana terbabit dalam politik ketika berusia lebih 90 tahun.

Kata Abdul Hadi, sebagai warga emas Dr Mahathir masih gemar "bercakap" dalam semua hal termasuk dalam bab agama.

Dr Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri PH jika gabungan itu berjaya memperoleh majoriti kerusi Dewan Rakyat pada PRU ke-14 yang akan diadakan pada 9 Mei ini.

Selain berdepan BN, PH juga dijangka akan berhadapan PAS di kebanyakan kerusi pada PRU14 ini.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.