Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

BN semakin terdesak - Anwar

Pakatan Harapan (Harapan) berjanji akan mewujudkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang benar-benar bebas jika berjaya menawan Putrajaya pada PRU14 nanti.

 

Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, oleh itu, beliau menyeru rakyat Malaysia keluar beramai-ramai bagi memastikan BN tumbang kali ini.

“Saya gesa seluruh rakyat Malaysia untuk keluar beramai-ramai mengundi Harapan untuk menyahkan BN dari Putrajaya. Harapan akan mewujudkan satu Suruhanjaya Pilihan Raya yang benar-benar bebas, dan memansuhkan undang-undang anti berita tidak benar ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum ini, pembangkang sering menuduh SPR berat sebelah dan condong kepada parti pemerintah walaupun suruhanjaya tersebut banyak kali menafikannya. Dalam isu persempadanan semula kawasan pilihan raya yang panas sekarang, pembangkang mendakwa ia dibuat bagi memastikan BN kekal di tampuk kepimpinan negara.

Selain itu, Anwar turut mendakwa usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang diluluskan Parlimen minggu lalu tidak melalui proses undang-undang dan jelas melanggar perlembagaan.

Katanya, walaupun isu persempadanan semula adalah perkara serius, namun ia dilihat diputuskan secara tergesa-gesa.

“Saya berasa amat jijik dengan tindakan BN yang meluluskan usul persempadanan semula di Dewan Rakyat dengan cukup tergesa-gesa tempoh hari.

“Ini adalah perkara yang amat serius yang sepatutnya diberikan masa secukupnya untuk dibahas dan dibincangkan. Tetapi usul tersebut telah diluluskan dalam masa dua jam sahaja! Ia adalah pengakuan bahawa BN akan kalah PRU14 jika sempadan sedia ada digunakan,” katanya.

Rabu lalu, Usul Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya persekutuan dan negeri telah diluluskan Dewan Rakyat.

Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan usul yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu diluluskan dengan majoriti 129 ahli Parlimen menyokong manakala 80 tidak bersetuju.

Usul itu diluluskan melalui pengundian belah bahagi yang dijalankan sejurus Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selesai menggulung sesi perbahasan.

Merujuk kepada Rang Undang Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar pula, Anwar menyifatkan cadangan itu juga adalah bukti bahawa BN semakin terdesak untuk menghadapi PRU14, sedangkan berita palsu atau tidak benar sememangnya ditangani dengan undang-undang sedia ada.

“Mereka (kerajaan) mahukan undang-undang ini untuk mengongkong dan menghalang orang ramai dari membincangkan mengenai salah laku BN. Dengan meluluskan RUU ini, BN dengan jelas menyerang golongan muda yang rata-rata bakal menjadi mangsa undang-undang zalim ini,” katanya.

Justeru, beliau menggesa semua rakyat negara ini supaya menjalankan tanggungjawab pada hari pengundian PRU14 bagi memastikan BN hilang kuasanya.

“Adakah kita hanya akan duduk diam bila pencuri penyamun yang merompak berbilion wang rakyat berkuasa mentakrifkan apa itu berita palsu?," katanya.

Pada 21 Mac lalu, Kabinet meluluskan RUU Antiberita Tidak Benar dan dibentangkan Dewan Rakyat bermula minggu lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pembentukan RUU ini bertujuan untuk memperuntukkan beberapa kesalahan-kesalahan berhubungan dengan penyebaran berita tidak benar dan langkah-langkah bagi mengekang berita tidak benar. - Sinar Online

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.