Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

Bahayanya ungkapan 'kalau saya tuhan'

Menulis di Facebooknya, Mohd Asri juga berkata ungkapan berkenaan sangat bahaya kepada akidah orang yang mengucapkannya sekiranya berada dalam keadaan sedar. Menulis di Facebooknya, Mohd Asri juga berkata ungkapan berkenaan sangat bahaya kepada akidah orang yang mengucapkannya sekiranya berada dalam keadaan sedar.

Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berpendapat bahawa ungkapan "jika saya tuhan" tanpa diikuti ungkapan yang menunjukkan keagungan tuhan, dikhuatiri akan merendahkan penciptaan dan menafikan hikmah ciptaannya.

Menulis di Facebooknya, Mohd Asri juga berkata ungkapan berkenaan sangat bahaya kepada akidah orang yang mengucapkannya sekiranya berada dalam keadaan sedar.

Katanya lagi, orang yang bercakap mengenai perkara itu perlulah bertaubat kerana ungkapan berkenaan dilihat seakan apa yang dilakukan tuhan selama ini tidak tepat atau salah.

"Seorang Muslim hendaklah berhati-hati dalam ungkapannya yang berkaitan ketuhanan. Tidak boleh seseorang muslim berkata 'jika awak tuhan' atau 'jika saya tuhan' melainkan diikuti dengan ungkapan yang menunjukkan keagungan tuhan.

"Namun, jika dia mengungkap 'jika saya tuhan saya akan lakukan begini...' atau 'jika saya tuhan, saya tidak akan lakukan begitu atau begitu...', maka itu secara langsung dan tidak langsung merendah penciptaan tuhan dan menafikan hikmah ciptaannya.

"Seakan apa yang tuhan lakukan tidak tepat ataupun salah ataupun di sana ada cara yang lebih baik.

"Ini sangat bahaya kepada akidah yang mengungkapnya jika dia sedar apa yang diucapkan. Hendaklah dia bertaubat dari ucapan itu," katanya.

Walaupun tidak menamakan mana-mana pihak, kenyataan Mohd Asri itu dipercayai merujuk kepada ucapan Anggota Parlimen Sepang Hanipa Maidin di Parlimen semalam.

Semalam, Malaysiakini melaporkan, Dewan Rakyat menjadi panas ekoran pertikaman lidah antara Hanipa dan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) bersama Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus).

Ungkapan 'kalau saya tuhan' itu timbul selepas Abdul Azeez menegur Hanipa dengan mendakwa bekas pemimpin PAS itu berlagak seperti tuhan kerana boleh menjangkakan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan memenangi pilihan raya umum ke-14.

Hanipa kemudian menjelaskan bahawa beliau bukan tuhan dan kalau beliau adalah tuhan, Abdul Azeez tidak akan diciptakan.

"Kalau saya tuhan, nasib baik saya bukan tuhan, kalau saya tuhan dari awal saya tak jadikan kamu, menyusahkan orang saja. Tapi sebab saya tak (bukan) tuhan," katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Akta Antiberita Tidak Benar.

Kenyataan Hanipa itu mendorong Khairuddin bangkit untuk menasihati Hanipa kerana ia membabitkan isu agama.

Bagaimanapun Hanipa enggan memberi laluan lanjut kepada Khairuddin untuk mencelah dan menegaskan beliau menggunakan ungkapan "kalau" dalam ucapannya.

Sehubungan itu, Mohd Asri berkata, sebarang kerosakan di dunia ini adalah disebabkan tangan manusia dan bukan kerana kesilapan tuhan yang mencipta.

"Tuhan mempunyai hikmat atas segala penciptaannya. Dia juga akan mengadili segala kejadian dan peristiwa di dunia. Kerosakan dunia ini disebabkan tangan manusia bukan kerana kesilapan ciptaan tuhan.

"Kita beriman segala yang tuhan ciptakan ada rahsia zahir dan batin dan Allah maha mengetahui segala yang zahir dan yang batin," ujar Mohd Asri lagi.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.