Dikemaskini 1:48 AM, 10 May, 2018
A+ A A-

"Dua tahun lalu saya dah tahu tak boleh bertanding" - Rafizi Ramli

"Memang saya tidak boleh bertanding (calon), daripada dua tahun lalu saya dah tahu tak boleh bertanding. Jadi, keputusan itu sudah dibuat dua tahun lalu," kata Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

 

Naib Presiden PKR itu berkata, Perlembagaan sudah jelas menyatakan kelayakan untuk bertanding sebagai calon wakil rakyat akan hilang sekiranya individu itu disabitkan kesalahan denda melebihi RM2,000 atau penjara setahun.

"Kemungkinan besar saya akan buat Sarjana Undang-undang (dalam penjara) dan cuba kurangkan sikit berat badan. Rayuan saya (di Mahkamah Rayuan) ditetapkan pada 1 Jun ini, jadi sekarang saya ada dua bulan lagi.

"Kalau mahkamah menolaknya, saya perlu pergi ke (penjara) untuk tempoh satu tahun setengah," katanya ketika ditemui pemberita selepas beliau mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) dalam ucapannya semasa memulakan perbahasan usul titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Rafizi mengulas demikian ketika ditanya apa perancangannya selama menjalani tempoh hukuman penjara 30 bulan sekiranya rayuan ditolak termasuk rancangannya selepas menjalani hukuman.

"Saya tidak pasti, bila orang cakap adakah saya akan kembali (dalam politik). Saya rasa kita tidak tahu apakah tahap mentaliti kita yang berubah-ubah di ketika berada di luar dan ia samalah bila ke penjara.

"Saya pernah berada di lokap tapi belum pernah dipenjarakan. Saya tidak tahu sama ada akan kembali berpolitik terutama sekiranya pakatan (Pakatan Harapan) menang.

"Tidak banyak yang tinggal untuk dilakukan orang seperti saya, mungkin ramai yang akan tampil untuk jadi menteri jadi biarlah mereka lakukannya," katanya.

Terdahulu, semasa memulakan perbahasan usul titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Rafizi turut meminta maaf sekiranya kritikan pedas selama lima tahun di Dewan Rakyat melukakan hati pihak sebelah kerajaan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada anggota-anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) yang disifatkan sangat terbuka ketika berhujah dengannya.

Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 7 Februari lalu menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadap Rafizi dan seorang bekas kerani bank, Johari Mohamad, kerana didapati bersalah membocorkan dokumen penyata baki akaun bank milik National Feedlot Corporation (NFC), National Meat pada Mac 2012.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan selepas membenarkan permohonan peguam Ahmad Nizam Hamid yang mewakili Rafizi dan peguam Latheefa Koya yang mewakili Johari. - BH Online

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.