Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

Putrajaya harap Indonesia tidak bekukan amah, kata TPM

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan bertemu dengan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Hanif Dhakiri bagi merundingkan semula antara lain soal keselamatan pembantu rumah republik itu di negara ini. Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan bertemu dengan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Hanif Dhakiri bagi merundingkan semula antara lain soal keselamatan pembantu rumah republik itu di negara ini.

Putrajaya berharap Jakarta tidak meneruskan cadangan menghentikan penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia susulan kes seorang amah mati didera majikannya di Pulau Pinang, baru-baru ini, lapor Utusan Online.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan bertemu dengan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Hanif Dhakiri bagi merundingkan semula antara lain soal keselamatan pembantu rumah republik itu di negara ini.

“Saya agak terkilan jika benar mengikut laporan media Indonesia bahawa negara itu akan menghentikan penghantaran pembantu rumah disebabkan kes terpencil yang berlaku terhadap penderaan seorang pembantu rumah.

“Saya akan bertemu dengan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Hanif Dhakiri mengenainya.

“Malaysia mempunyai Prosedur standard operasi (SOP) yang harus dipatuhi oleh majikan dan kerajaan tidak akan melindungi mana-mana majikan yang melakukan penderaan,” katanya di Bagan Datuk, seperti dipetik oleh portal berita Utusan Malaysia itu.

Akhbar The Jakarta Post hari ini melaporkan cadangan republik itu membekukan sekali lagi penghantaran amah ke Malaysia selepas insiden dera yang membunuh warganya minggu lalu.

Warga Indonesia itu, Adelina Lisao, 26, meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Seberang Jaya sehari selepas diselamatkan oleh polis dari rumah majikannya di Bukit Mertajam.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Rusdi Kirana berkata pembekuan semula itu akan membolehkan republik tersebut mengambil langkah memastikan kes seumpama itu tidak berulang.

"Pembekuan itu mustahak supaya kita boleh menyusun semula sistem pengambilan tenaga kerja Indonesia untuk mengelak kes seperti Adelina terjadi lagi," kata Rusdi, seperti dipetik The Jakarta Post.

Menurut Zahid, Malaysia tidak akan melindungi atau menyembunyi sebarang fakta yang berlaku dalam kes kematian Adelina.

"Pendakwaan akan dilakukan dan pengadilan akan dibuat di Malaysia. Indonesia perlu yakin negara ini merupakan sebuah negara yang berbeza dengan negara-negara lain (berhubung kes penderaan dan kematian pembantu rumah)," katanya, seperti dipetik Bernama.

Zahid juga dipetik Bernama berkata peratusan penderaan pembantu rumah di negara ini adalah yang terendah berbanding negara-negara lain kerana Malaysia "mengambil peduli" kebajikan pembantu rumah dari Indonesia yang berada di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri itu juga memberi jaminan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia akan terus memantau sebarang aduan berkaitan penderaan pembantu rumah dI negara ini.

"Kita akan melihat semula perjanjian di antara majikan dan pekerja berkenaan, mana-mana peraturan yang masih mempunyai kelonggaran maka kita akan adakan kajian semula termasuk SOP keselamatan," katanya.

Indonesia pernah dua tahun mengenakan sekatan sama sebelum satu memorandum persefahaman (MoU) menjamin kesejahteraan tenaga kerjanya ditandatangani dengan Malaysia pada 2011.

MoU itu luput pada 2016 dan masih belum diperbaharui, lapor The Jakarta Post.

Menurut akhbar itu, rundingan untuk memperbaharui MoU itu sudah diadakan sebanyak 11 kali pada peringkat jawatankuasa bersama kedua-dua negara tetapi terhenti pada 2014.

Menurut Duta Besar Indonesia ke Malaysia cadangan pembekuan itu juga sudah dimaklumkan kepada Presiden Joko Widodo, yang menyambut baik usul tersebut.

Menurut duta itu, Jokowi juga mahukan tindakan tersebut diambil, kerana perkara yang sama sudah dibangkitkan oleh presiden itu pada pertemuan dengan Perdana Menteri Najib Razak pada rundingan dua hala tahunan di Kuching pada November tahun lalu.

Menurut The Jakarta Post, kematian Adelina menghidupkan semula perbahasan di republik itu tentang perlunya Indonesia mempertingkatkan perlindungan ke atas warganya yang diambil bekerja di negara lain.

Laporan bedah siasat mendedahkan Adelina maut akibat kegagalan organ yang disebabkan kekurangan darah, lapor Berita Harian. Mangsa juga dipercayai dipaksa majikannya tidur di luar rumah bersama seekor anjing peliharaan mereka.

Polis kemudian menahan dua adik beradik serta ibu mereka berusia 60 tahun untuk siasatan lanjut. Ketiga-tiga mereka masih ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksanaan kerana jenayah bunuh.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.