Dikemaskini 9:43 AM, 20 Feb, 2018
A+ A A-

RM924 juta untuk pembangunan luar bandar Sabah

Katanya peruntukan itu adalah 23.5 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan disediakan kerajaan persekutuan menerusi kementeriannya untuk membangunkan kawasan luar bandar di seluruh negara sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan luar bandar di Sabah. Katanya peruntukan itu adalah 23.5 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan disediakan kerajaan persekutuan menerusi kementeriannya untuk membangunkan kawasan luar bandar di seluruh negara sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan luar bandar di Sabah.

Kerajaan persekutuan memperuntukkan sejumlah RM924 juta bagi membangunkan kawasan luar bandar di Sabah pada tahun ini, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya peruntukan itu adalah 23.5 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan disediakan kerajaan persekutuan menerusi kementeriannya untuk membangunkan kawasan luar bandar di seluruh negara sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan luar bandar di Sabah.

"Daripada keseluruhan bajet 2018, kerajaan memperuntukkan 23.5 peratus peruntukan pembangunan luar bandar bagi Sabah dan Sarawak 28 peratus (Sarawak); manakala sebanyak 47.5 peratus untuk Semenanjung yang dikongsi bersama 11 negeri.

"Ini jelas menunjukkan bahawa setiap kali bajet diumumkan, peruntukan untuk Sabah dan Sarawak dari segi membangunkan luar bandar adalah yang terbesar," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Luar Bandar (Mexclub) Bilangan 1/2018 di sini hari ini.

Mexclub diadakan bertujuan meningkatkan persefahaman dan kerjasama antara kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dengan kerajaan negeri khususnya dalam pelaksanaan program dan projek pembangunan luar bandar.

Empat kertas dibentangkan pada mesyuarat itu membabitkan bajet 2018, cadangan pelaksanaan Tabika Transit Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas); pembangunan Rumah Bina Negara dan cadangan mempercepat pelaksanaan projek-projek luar bandar.

Ismail Sabri berkata 102 projek kawasan luar bandar akan dilaksanakan di Sabah pada tahun ini berbanding 86 projek pada tahun lepas.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata pada tahun ini, kementeriannya akan memfokuskan pelaksanaan projek jangka pendek dan sederhana untuk memastikan mana-mana projek berkaitan dapat disegerakan dan diselesaikan mengikut tempoh ditetapkan.

Bagi pelaksanaan projek jangka pendek, katanya, projek yang antara lain melibatkan pembinaan jalan kampung, membaiki rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) serta pemasangan lampu jalan di jalan-jalan kampung akan dimulakan pada Februari dan dijangka disiapkan selewat-lewatnya 31 Mac ini.

"Jika di Sabah ini, banyak projek memerlukan (ia diselesaikan dalam tempoh) jangka pendek seperti jalan kampung, menaik taraf jalan dan sebagainya kerana jika kita lihat ada jalan-jalan kampung yang teruk dan perlu disegerakan," katanya.

Kementeriannya juga memfokuskan kepada pelaksanaan projek jangka pendek dalam meningkatkan ekonomi penduduk termasuk menganjurkan latihan dan kursus seperti membuat kek selain menyediakan peralatan diperlukan kepada peserta terlibat bagi membolehkan mereka memulakan perniagaan, katanya.

Bagi projek jangka sederhana pula, Ismail Sabri berkata setiap projek terlibat akan mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata kementeriannya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes penyelewengan dana dan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan kementerian berkenaan.

Beliau berkata KKLW terbuka kepada pihak SPRM untuk melakukan siasatan tidak hanya untuk projek-projek lama tetapi juga projek-projek baharu jika dikenal pasti melanggar undang-undang.

Ismail Sabri juga berkata siasatan dijalankan SPRM terhadap kementerian itu tidak memberi kesan atau menjejaskan pelaksanaan pembangunan projek yang telah dirancang. -Bernama

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.