Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

Kuasa politik Malaysia Timur

Kekuatan politik yang dimiliki oleh Sabah dan Sarawak boleh mempengaruhi keadaan keseluruhan politik Malaysia. Kedudukan mereka jauh melebihi MCA, Gerakan, MIC dan DAP. Kekuatan politik yang dimiliki oleh Sabah dan Sarawak boleh mempengaruhi keadaan keseluruhan politik Malaysia. Kedudukan mereka jauh melebihi MCA, Gerakan, MIC dan DAP.

Kuasa politik Sabah dan Sarawak secara langsung menentukan aliran politik di Malaysia, khususnya tindakan politik Sarawak baru-baru ini benar-benar menimbulkan kebimbangan. Sebelum ini, Bekas KM Sarawak, Adenan Satem selama ini berterusan menuntut kuasa autonomi daripada Kerajaan Pusat dan menggesa pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

KM baru, Abang Johari pula dalam mengendalikan isu RUU355 juga kelihatan membelakangkan Kerajaan Pusat. Pertikaian antara Menteri Pelancongan Negeri dan juga Menteri Pelancongan Persekutuan berhubung cukai pelancongan sehingga menimbulkan kontroversi, akhirnya Nazri Aziz terpaksa mengumumkan penangguhan pelaksanaan cukai.

Slogan Agi Idup Agi Ngelaban telah menyatupadukan seluruh rakyat Sarawak, selagi hidup akan meneruskan perjuangan. Slogan ini bukan sahaja menyatukan Bumiputera termasuklah orang Melayu, malah turut menarik perhatian sebahagian besar kaum Cina yang hilang arah tuju dan akhirnya pembangkang tewas teruk semasa PRN2016.

Pada masa itu, aura Adenan Satem dan tadbir urus yang baik Kerajaan Negeri Sarawak telah menyentuh hati rakyat. PBB berjaya mengumpulkan kekuatan rakyat, bukan sahaja menuntut penyelarasan semula cukai minyak malah mendapatkan jaminan dan pengiktirafan 18 perkara daripada Kerajaan Pusat.

Sementara itu bagi Sabah pula, meskipun ditadbir oleh UMNO Sabah namun pemikiran orang Sabah adalah tidak sama dengan Kerajaan Pusat. Selepas bekas menteri, Shafie Apdal bermasam muka dengan Kerajaan Pusat, mula timbul pergeseran pemikiran di kalangan rakyat.

Meskipun KM sekarang, Musa Aman mempunyai hubungan yang akrab dengan Kerajaan Pusat, namun jika ia berkaitan dengan isu autonomi Sabah, beliau juga akan bertindak dan sependapat dengan negeri Sarawak.

Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen manakala Sabah pula 25 kerusi, satu perempat daripada jumlah keseluruhan Parlimen. Pada PRU13, BN Sarawak memenangi 25 kerusi manakala Sabah pula 22 kerusi, kedua-dua negeri ini boleh dikatakan undi besi BN.

Malah setiap kali lawatan PM, Najib di kedua-dua negeri ini pasti akan memberi tumpuan kepada pembangunan. Baru-baru ini, beliau turut menyalurkan peruntukan untuk projek lebuhraya di kedua negeri. Matlamatnya adalah bagi memastikan BN akan terus memperolehi undi besi ini.

Pada PRU12, Anwar Ibrahim pernah merancang gerakan 916, cuba untuk mempengaruhi Ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak lompat parti. Namun, usahanya menemui kegagalan. Jika beliau berjaya menarik separuh daripada jumlah ahli Parlimen di kedua negeri tersebut untuk melompat parti, nescaya sejarah politik Malaysia sudah pun ditulis semula.

Kekuatan politik yang dimiliki oleh Sabah dan Sarawak boleh mempengaruhi keadaan keseluruhan politik Malaysia. Kedudukan mereka jauh melebihi MCA, Gerakan, MIC dan DAP.

Pemimpin Sabah dan Sarawak terus menyokong BN bukan sahaja untuk meneruskan pembangunan negeri, paling utama sekali adalah Kerajaan BN lebih stabil berbanding pembangkang yang sentiasa berpecah belah. Mereka sedar bahawa penubuhan kerajaan bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

Justeru, daripada memberi sokongan kepada kuasa politik yang belum pasti, maka adalah lebih baik terus kekal memberi sokongan kepada Kerajaan sedia ada dan sudah stabil . Oleh demikian, jika pembangkang mahu menang dalam PRU14 dan menawan Putrajaya, tanpa sokongan kedua-dua negeri ini, boleh dikatakan pembangkang hanya mimpi di siang hari sahaja. – Kwong Wah Yit Poh

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.