Dikemaskini 1:48 AM, 10 May, 2018
A+ A A-

Pengundi Melayu diam luar biasa

Menurut penganalisis politik, walaupun 117 daripada 222 kerusi Parlimen di negara ini adalah kawasan pengundi Melayu yang merupakan penentu nasib kerajaan dan pembangkang untuk menguasai Putrajaya pada PRU14 ini, tetapi hala tuju mereka masih belum diketahui dan keadaan pada kali ini amat luar biasa.

 

Setakat ini parti kerajaan mahupun parti pembangkang masih belum dapat menguasai pengundi Melayu kerana sentimen mereka tidak sama berbanding dengan pengundi Cina, malah hala tuju mereka dijangka tidak diketahui sehingga hari pembuangan undi.

Namun pengundi Melayu di kawasan bandar lebih ramai mengundi pembangkang.

Menurut Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Ilham Center, Hisommudin Bakar, tinjauan yang dilakukan selepas Parlimen dibubarkan, pihak Ilham Center gagal mengenal pasti hala tuju pengundi Melayu di luar bandar sama ada mereka menyokong kerajaan atau pembangkang.

Walaupun berlaku skandal 1MDB, FELDA dan Tabung Haji, tetapi isu-isu tersebut tidak begitu menjejaskan kedudukan kerajaan, sebaliknya isu inflasi dan kos sara hidup menyebabkan ramai rakyat di luar bandar tidak berpuas hati.

Namun isu tersebut tidak mampu mengubah sokongan kerana rata-rata pengundi di luar bandar masih setia terhadap UMNO dan BN. Sebaliknya sebahagian daripada pengundi di bandar masih terus menyokong pembangkang seperti pada PRU lalu.

Menurut Hisommudin, kesukaran mengenal pasti hala tuju pengundi Melayu pada PRU kali ini kemungkinan pengundi-pengundi tersebut ingin melihat terlebih dahulu senarai calon yang dkemukakan oleh pihak kerajaan dan pembangkang.

Mengenai “tsunami Melayu” yang diuar-uarkan oleh pembangkang, Hisommudin berpendapat bahawa perkara tersebut sama ada di bandar atau di luar bandar masih belum ada tanda-tanda akan berlaku, namun yakin pengundi di kawaan FELDA masih menyokong kerajaan.

Mengenai pengaruh Mahathir di kawasan utara Semenanjung terutama di Kedah, Hisommudin pula berpendapat, kekuatannya terjejas apabila PAS turut bertanding menyebabkan undi berpecah.

Pada kali ini, PAS dijangka akan bertanding lebih 100 kerusi Parlimen dan sekali gus menjejaskan sokongan terhadap PH di negeri-negeri di pantai timur Semenanjung, bahagian tengah Kedah dan Perak bahagian utara.

Namun pengalaman Mahathir selama 22 tahun sebagai PM, sudah tentu mempunyai pengaruh di Kedah terutama di Kubang Pasu.

Pengundi Melayu di kawasan tersebut dijangka akan mengundi pembangkang.

Menurut beliau, PH tidak mampu mengatasi kekuatan PAS di kawasan pantai timur dan kekuatannya hanya bergantung kepada pengaruh Mahathir.

Di samping itu, Hisommudin juga memberitahu bahawa persempadanan semula kawasan pilihan raya baru-baru ini banyak memberi kelebihan kepada BN dan pengaruh Mahathir pasti tidak mampu membawa semua pengundi menyokong PH.

Hisommudin juga menafikan pendapat setengah pihak yang mengatakan pengundi Melayu di luar bandar merupakan penentu nasib kerajaan dan pembangkang untuk menguasai Putrajaya.

Menurut beliau, walaupun pengundi muda berusia 21 hingga 40 tahun berjumlah 40 peratus, tetapi pengundi Melayu golongan muda di kawasan bandar tidak ramai dan pengaruhnya tidak begitu menggugat.

Tetapi kepulangan ramai pengundi muda yang tinggal di bandar pada hari mengundi pasti mempengaruhi hala tuju pengundi Melayu di luar bandar terutama pengundi golongan tua.

Oleh itu, hala tuju pengundi di luar bandar masih belum diketahui setakat ini.

Beliau berpendapat, tiga faktor atau sebab pengundi Melayu mengundi pembangkang.

Di antaranya adalah pengaruh Mahathir, kos sara hidup meningkat dan isu 1MDB serta skandal perbadanan kerajaan. - China Press

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.