Dikemaskini 1:48 AM, 10 May, 2018
A+ A A-

Maut ditetak teman lelaki isteri

Seorang pekerja ladang maut selepas disyaki ditetak oleh teman lelaki isterinya di sebuah rumah di Blok 03, Kampung Murai, Ladang Kretam, dekat Tawau, semalam.

 

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa, Amir Mappiase, 35, disahkan mati di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada leher.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang pengurus ladang pada jam 1.15 tengahari yang memaklumkan menemui mayat lelaki itu dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang baru pulang ke rumah mendapati suspek dan isterinya berdua-duaan di situ sebelum berlaku pergaduhan.

"Suspek yang berumur 21 tahun dikatakan menetak leher mangsa menggunakan parang dan kemudian melarikan diri melalui pintu belakang menuju ke kawasan ladang sawit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadil berkata, hasil maklumat dan bantuan penduduk kampung sepasukan anggota dari Balai Polis Kalabakan berjaya menahan suspek yang bersembunyi di kawasan ladang, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Beliau berkata, polis turut menemui tiga bilah parang panjang masing-masing berukuran 44, 53 dan 70 sentimeter dipercayai digunakan suspek ketika menetak mangsa.

Katanya, mangsa yang berasal dari Indonesia sudah bekerja di ladang terbabit selama sembilan tahun manakala suspek sejak setahun lalu.

"Susulan kejadian itu, polis sedang mengesan isteri mangsa dikenali sebagai Ani Beddu, 42, yang juga warga Indonesia untuk membantu siasatan," katanya.

Wanita terbabit dipercayai melarikan diri sejurus kejadian itu.

Fadil berkata, polis percaya motif kejadian adalah berpunca daripada hubungan sulit suspek dengan isteri mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BH Online

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.