Dikemaskini 1:48 AM, 10 May, 2018
A+ A A-

DJ radio didakwa miliki pistol dan tujuh butir peluru

Tertuduh, Abdul Aziz Mohamed Desa. Foto Kosmo Online Tertuduh, Abdul Aziz Mohamed Desa. Foto Kosmo Online

Seorang penyampai radio dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Kangsar hari ini atas dua pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan tujuh butir peluru tanpa kebenaran minggu lalu.

 

Tertuduh, Abdul Aziz Mohamed Desa,47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sepucuk senjata api jenis Walther Semi Auto buatan Jerman tanpa kebenaran yang sah disisi undang-undang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara selama 14 tahun dan sebat tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Abdul Aziz didakwa memiliki tujuh butir peluru tanpa kebenaran yang sah disisi undang-undang.

Kesalahan tersebut membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Abdul Aziz didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Kilometer 28, Kampung Bahagia, Sungai Siput Utara dekat sini kira-kira pukul 8.30 pagi pada 26 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Hasyutantee Khalil manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Hasyutantee memohon mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan terhadap tertuduh kerana melakukan kesalahan yang berat.

Abdul Aziz dalam rayuannya memberitahu, dia kini tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menanggung enam orang anak yang masih bersekolah.

Rohaida bagaimanapun membenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan tarikh 1 Jun depan untuk lantikan peguam dan sebutan semula kes - Kosmo Online

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.