Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

Polis ambil keterangan suspek bunuh Dr Fadi

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil keterangan pemilik kenderaan sewa dipercayai digunakan suspek pembunuhan imam dan pensyarah dari Palestin Dr Fadi Mohammed Al Batsh, selepas kenderaan itu dilaporkan ditinggalkan di Ampang Hilir, dekat Shah Alam Khamis.

 

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata identiti penyewa kenderaan itu juga telah dikenal pasti namun enggan mengulas dan mendedahkan butiran lanjut mengenai kedua-dua individu berkenaan.

“Semua tindakan sewajarnya telah dilaksanakan cuma lokasi dan jenis kenderaan saya tidak dapat dedahkan kerana siasatan sedang dijalankan.

“Jika ada laporan menyatakan kenderaan terlibat jenis Proton Saga, saya tak boleh beritahu kerana ada juga jenis kenderaan lain yang dipercayai digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program keagamaan Buddha sempena sambutan Hari Polis ke-211 di Samadhi Vihara, Seksyen U12, di Shah Alam Jumaat.

Pada Jumaat media melaporkan sebuah kenderaan jenis Proton Saga yang disyaki digunakan suspek kes pembunuhan untuk melarikan diri, ditinggalkan di Taman Tasik Ampang Hilir, Ampang, Khamis. - Bernama

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.