Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

Datuk Seri, Datuk antara 36 didakwa anggota kumpulan Geng 08

Dua lelaki masing-masing bergelar 'Datuk Seri' dan 'Datuk' merupakan antara 36 individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam pada Khamis atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang, 'Geng 08', sejak tiga tahun lepas.

 

Kesemua tertuduh yang berumur di antara 20-an dan 50-an mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, kesemua lelaki terbabit didakwa menjadi anggota Geng 08 di dalam daerah Petaling, antara 1 Jan 2015 sehingga 29 Mac lepas.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias dan Mustafa P. Kunyalam yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesemua tertuduh ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan ( Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mohd Sabri menetapkan 28 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Semalam, seramai 21 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang atas pertuduhan menganggotai dan bergaul dengan kumpulan jenayah terancang 'Geng 18' sejak tiga tahun lepas.

Media sebelum ini melaporkan kejayaan polis melumpuhkan kumpulan kongsi gelap geng '08' dan geng '18' dengan tertangkapnya 63 anggota kumpulan itu dalam operasi bersepadu di seluruh negara, sejak 29 Mac lepas sehingga 9 April. - Bernama

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.