Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

DJ radio ditahan miliki pistol, 32 peluru hidup

Polis menahan seorang juruhebah radio yang memiliki sepucuk pistol jenis Walther bersama satu kelopak berisi tujuh butir peluru hidup di Kilometer 28, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar dekat Kampung Bahagia di Sungai Siput, Khamis.

 

Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan sewaktu sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput menjalankan Ops Khas di kawasan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, suspek ditahan selepas polis mendapati kereta jenis Toyota Wish yang dipandunya menggunakan lampu beacon.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, pemandu kereta itu menyimpan sepucuk pistol semi auto jenama Walther di dalam sarung yang diletakkan di pinggangnya bersama satu kelopak berisi tujuh butir peluru hidup.

"Polis turut menemui satu beg sandang yang mengandungi satu kelopak peluru berisi tujuh butir peluru hidup dan 18 butir peluru hidup.

“Menerusi tangkapan itu, sebanyak 32 butir peluru hidup jenis 9 milimeter telah dirampas,” katanya memetik Kosmo Online.

Menurut Yahya, polis masih menjalankan siasatan untuk mengetahui motif suspek memperoleh senjata api tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (FIPA) 1971 kerana memiliki pistol tanpa lesen dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.