Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

Ahli militan Abu Sayyaf berdepan dua pertuduhan

Mahkamah Majistret di Kota Kinabalu hari ini menetapkan 13 April depan sebagai tarikh baharu bagi dua pertuduhan terhadap seorang ahli kumpulan militan Abu Sayyaf warga Filipina.

 

Penolong Pendaftar, Cindy Mc Juse Balitus menetapkan keputusan tersebut terhadap tertuduh, Marson Ajijul@Anuar Mohamad Asnalul yang berusia 31 tahun.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati menjadi ahli kumpulan pengganas Abu Sayyaf antara 31 Julai 2015 sehingga 15 Mac tahun ini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara seumur hidup dan dikenakan denda.

Mengikut pertuduhan kedua pula, pada bulan Ogos 2017 hingga 15 Mac 2018 bertempat di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah tertuduh didapati tidak memiliki pas sah yang dikeluarkan mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini.

Tertuduh berhadapan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun dan tidak lebih enam kali sebatan mengikut Seksyen 6 (1) c Akta Imigresen 1959/63.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Farrah Farizah Wan Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan tarikh baharu pertuduhan pada 13 April ini dan tiada pengakuan direkodkan.

Pada pertengahan Mac lalu, lelaki terbabit diberkas di negeri ini kerana cubaan menyerang dan menjadikan Sabah sebagai lokasi persembunyian pengganas dari Filipina.

Tertuduh yang berasal dari Zamboanga, Filipina merupakan anggota kanan kepada Furuji Indama iaitu Ketua Kumpulan Abu Sayyaf Group di Basilan Selatan yang pakar dalam menghasilkan bahan letupan buatan sendiri (IED). - Kosmo Online

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.