Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

Empat pengedar dadah ditahan dalam serbuan Op Sarang

Empat suspek dipercayai pengedar dadah diberkas polis dalam satu serbuan di Kampung Cenderamata 2, Likas di Kota Kinabalu pada Sabtu.

 

Kesemua suspek yang pernah didakwa di bawah kesalahan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 itu dipercayai aktif melakukan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Mohamed Fadzil A. Rahman berkata, siasatan terperinci terhadap kesemua suspek akan dilakukan.

"Empat suspek yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di kawasan perkampungan itu.

"Hasil siasatan mendapati mereka pernah ditangkap mengikut ADB 1952," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kota Kinabalu pada Sabtu.

Menurut Mohamed Fadzil, selain itu pihak polis turut menahan 82 suspek yang mana 25 daripada mereka disahkan positif dadah jenis syabu.

Katanya, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 45 tahun itu ditahan di kawasan yang sama dalam operasi Op Sarang.

"Op Sarang merupakan operasi yang memberi tumpuan di kawasan panas pengedaran dan penagihan dadah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada orang awam dan risikan polis," katanya.

Operasi terbabit melibatkan 289 anggota polis termasuk pasukan khas Rapid Team.

"Turut terlibat, Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Pasukan Polis Marin (PPM). - Kosmo Online

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.