Dikemaskini 3:01 AM, 26 Apr, 2018
A+ A A-

Banyakkan baca al-Quran, Mufti mahu jumpa Iqram

  • Written by Smasa News
  • Published in Buzz
  • 0 comments
Zulkifli menerusi kenyataan terbuka kepada Iqram di Instagram miliknya pada Rabu menasihati pelakon itu supaya mendekati al-Quran selain memperbanyakkan zikir. Zulkifli menerusi kenyataan terbuka kepada Iqram di Instagram miliknya pada Rabu menasihati pelakon itu supaya mendekati al-Quran selain memperbanyakkan zikir.

Isu melibatkan pelakon Iqram Dinzly yang berkelakuan pelik di laman sosial Instagram miliknya sejak kebelakangan ini mendapat perhatian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli menerusi kenyataan terbuka kepada Iqram di Instagram miliknya pada Rabu menasihati pelakon itu supaya mendekati al-Quran selain memperbanyakkan zikir.

"Kami nasihatkan saudara supaya mendekati al-Quran, begitu juga zikir-zikir.

"Kami ada menonton beberapa LV (live video) saudara yang menunjukkan saudara adalah seorang yang melazimi zikir. Itu adalah hal yang amat baik kerana hanya dengan mengingati Allah SWT, jiwa akan menjadi tenang," tulisnya.

Bagaimanapun Zulkifli dalam kenyataan itu tidak mengulas mengenai hal berkaitan Iqram ketika ini kerana pihaknya tidak mengetahui keadaan yang sebenar pelakon tersebut.

Pun begitu, Zulkifli menasihatkan agar Iqram tidak mengambil peduli terhadap cemuhan dilemparkan terhadapnya kerana bimbang ia akan memberi tekanan kepadanya.

"Berkenaan hal-hal yang berlegar di media sosial, kami mengambil sikap berkecuali kerana kami tidak tahu keadaan yang sebenar.

"Dalam masa yang sama, kami mengambil maklum akan cemuhan dan kata-kata kasar daripada netizen terhadap saudara.

"Nasihat kami, cemuhan-cemuhan berkenaan tidak perlu dipedulikan dan diambil perhatian kerana sejujurnya ia akan lebih memberikan tekanan kepada saudara.

Zulkifli turut mengucapkan takziah kepada Iqram dan keluarga atas kematian bapanya, Allahyarham Saipuddin Ahmad Said pada 10 Oktober lalu.

"Semoga Allah menghimpunkannya bersama-sama dengan orang yang soleh. Kami percaya, saudara Iqram dan Mama amat tabah menghadapi ujian ini.

"Kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Iqram sekeluarga. Kami juga yakin, Iqram mampu menjaga mama dengan sebaiknya setelah pemergian papa yang dikasihi," tulisnya.

Sementara itu, Zulkifli turut menjemput Iqram hadir ke pejabatnya di Putrajaya bagi membolehkan pihaknya untuk mengenali antara satu sama lain selain berbincang berkenaan situasi dan keadaannya.

"Mungkin ada sisi-sisi tertentu yang boleh kami usahakan untuk bantuan dan sokongan.

"Semoga Allah memberikan ketabahan kepada saudara dalam menempuh ranjau kehidupan dengan penuh kesabaran dan kekuatan. Amin," ujarnya.

Terdahulu, Zulkifli menerusi posting berbeza meminta sesiapa yang mempunyai nombor telefon Iqram untuk diberikan kepadanya.

Zulkifli dalam kapsyen posting itu memberitahu beliau ingin menghulurkan salam perkenalan.

Dalam pada itu dalam satu mesej kepada mStar Online, Zulkifli meminta salamnya disampaikan kepada pelakon itu. -mStar Online 

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.