Dikemaskini 1:48 AM, 10 May, 2018
A+ A A-

Farid Kamil bedah, kes ditangguh

Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini diberitahu, pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari yang berhadapan enam pertuduhan jenayah akan menjalani pembedahan lutut di sebuah hospital di Damansara pada 15 Mei ini.

 

Perkara itu dimaklumkan peguam bela, Faizul Mohd. Nasir yang mewakili pelakon itu dalam prosiding sebutan semula keenam-enam kes berkenaan.

Terdahulu, Majistret Salamiah Salleh menetapkan 6 Jun depan bagi sebutan semula kes dihadapi Farid Kamil, 37.

Bagaimanapun, Faizul memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya itu akan menjalani pembedahan lutut dan memerlukan tempoh masa untuk sembuh.

"Justeru, saya memohon mahkamah tarikh untuk sebutan akan datang dilewatkan," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham, Faizul turut memaklumkan mahkamah pihaknya akan menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi menggugurkan semua pertuduhan yang dihadapi Farid Kamil.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mary Phoon Keat Mee dan Fazeedah Faik.

Pada 16 Januari lalu, Farid Kamil berdepan empat pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara kira-kira pukul 1.20 petang, 11 Januari lalu.

Sembilan hari kemudian, Farid Kamil turut didakwa menggunakan dadah berbahaya Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu ‘11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada pukul 4.30 petang, tarikh sama.

Sementara itu, pada 9 Mac lalu, Farid Kamil didakwa sekali lagi telah mereka keterangan palsu bersabit sebuah laporan polis dengan memasukkan keterangan tidak benar yang mana laporan itu boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis yang menerima laporan itu.

Pelakon filem J Revolusi itu didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur dekat sini pada pukul 5.54 petang, 31 Januari lalu. - Kosmo Online

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.