Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

Selepas diikat jamin kes 53 biji eramin 5 dalam beg Chanel, Uqasha tutup ruang komen Instagram

Pelakon Uqasha Senrose telah menutup ruangan komen di akaun Instagram selepas dia ditahan pihak polis bagi membantu siasatan berhubung kes pemilikan dadah jenis eramin 5 semalam.

 

Disebabkan tindakan Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Zain, 26, itu, akaun Instagram adiknya Nelydia Senrose yang juga seorang pelakon telah diserang oleh netizen.

Ada kalangan netizen melemparkan komen negatif termasuk turut mengaitkan Nelydia dengan kontroversi terbaharu yang menimpa kakaknya.

Terdahulu Uqasha tidak memberi sebarang maklum balas berhubung dakwaan dirinya memiliki sebanyak 53 pil jenis eramin 5 di dalam beg tangan miliknya selepas terlibat dalam kemalangan di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu hanya mendiamkan diri dan berjanji untuk menghubungi semula selepas ditanya Kosmo! mengenai kejadian berkenaan.

Menurut satu sumber Uqasha dibawa ke Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail, selepas kereta yang dipandunya, Range Rover berwarna putih melanggar sebuah kenderaan jenis Honda BRV di hadapan sebuah rumah di Taman Tun Dr. Ismail sekitar pukul 11.45 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim yang dihubungi mengesahkan penahanan seorang pelakon wanita bersama 53 pil dadah jenis eramin 5 bernilai RM600.

Menurut Mazlan, ujian air kencing yang dijalankan terhadap pelakon wanita itu mendapati ia negatif dadah dan artis tersebut kemudian dilepaskan selepas keterangannya direkodkan.

“Polis akan menghantar 53 pil disyaki dadah eramin 5 ke Jabatan Kimia manakala kertas siasatan berkaitan kemalangan dan penemuan dadah dalam beg pelakon itu akan dihantar kepada Jabatan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” kata beliau.

Katanya, kes berkaitan penemuan dadah itu disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Uqasha ketika dihubungi tidak memberi sebarang maklum balas berhubung laporan polis yang mendakwa dirinya memandu dalam keadaan khayal dan berjanji untuk menghubungi semula.

“Saya akan hubungi semula,” ujarnya. - Kosmo Online

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.