Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

"Saya juga sudah melupakan apa yang berlaku" - Elfira Loy

Diasak pelbagai spekulasi, termasuk dikatakan masih menghubungi bekas tunangnya, pelakon Elfira Loy, 24, mengambil pendekatan untuk mengunci mulut bagi mengelak kenyataannya disalah tafsir.

 

Bekas tunang kepada penyanyi Sufian Suhaimi itu berkata, berdiam lebih baik kerana tidak semua pihak memahami apa yang dilaluinya.

"Siapa yang mengeluarkan kenyataan saya masih menghubungi Sufian? Rasanya tidak perlu lagi memanjangkan perkara itu, lebih baik biarkan saja ia berlalu.

"Saya memilih untuk berdiam kerana kadang kala, apa yang diluahkan tetap dianggap tidak benar oleh segelintir pihak. Jadi, lebih baik saya tidak berkata apa-apa.

"Saya juga sudah melupakan apa yang berlaku. Lihat keadaan saya sekarang yang menghargai setiap detik dalam kehidupan. Alhamdulillah, saya gembira," katanya memetik BH Online.

Ditemui ketika menjayakan Festival GegaRia edisi keempat yang sedang berlangsung di Dataran Amanjaya, Meru, di sini, gadis bertubuh kecil molek itu berkata, dia masih belum terfikir untuk mencari pengganti dalam masa terdekat.

"Fokus saya ketika ini adalah untuk menikmati kehidupan. Saya masih muda dan gembira dikelilingi mereka yang sentiasa memberikan kata semangat.

"Saya selesa menjayakan acara yang membabitkan orang ramai seperti Festival GegaRia. Buat masa ini, saya tidak terfikir lagi untuk mengenali orang lain," katanya.

Elfira dan Sufian mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober tahun lalu, namun, ikatan yang sepatutnya menyimpul kebahagiaan antara mereka semalam, terlerai 17 Februari lalu. - BH Online

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.