Dikemaskini 6:21 AM, 20 Apr, 2018
A+ A A-

'Tolak satu, dapat lain'

Aktres jelita, Raja Ilya terpaksa melupakan hasrat meneruskan sesi pemilihan pelakon sebuah studio penerbitan filem adiwira terkenal di Hollywood, Amerika Syarikat (AS), demi prinsip diri.

 

Raja Ilya memberitahu, dia membuat keputusan selepas menimbang beberapa perkara dan syarat ditetapkan studio terbabit yang dianggap tidak sesuai dengan dirinya.

"Saya terima dengan hati terbuka biarpun terpaksa melepaskan perkara besar. Ini kerana saya fikir tidak sesuai dengan kita. Saya tidak boleh ulas panjang tapi saya percaya semua pihak faham.

"Orang boleh buat apa juga andaian tapi keputusan ini diambil demi kebaikan saya dan masa depan kerjaya," katanya memetik BH Online.

Awal bulan lalu, Raja Ilya atau nama sebenarnya, Raja Ramilah Begum Raja Mohamad, 32, 'terbang' ke Hollywood bagi memulakan misi mencuba nasib membintangi filem adiwira yang bakal diterbitkan studio terkenal itu.

Raja Ilya berada di AS selama dua minggu selepas membuat persiapan rapi kira-kira tiga bulan. Antara usaha diambil pelakon tinggi lampai ini termasuk mendapatkan bentuk badan ideal agar sesuai dengan watak diidamkan.

Namun, sudah namanya tuah, pelakon yang mula dikenali menerusi filem Appalam itu teruja memberitahu, dia menerima tawaran lain daripada sebuah syarikat produksi negara Uncle Sam itu.

"Saya sangat teruja untuk berkongsi... Tetapi saya sudah tandatangan perjanjian rahsia dan diminta 'mengunci' mulut.

"Saya minta semua peminat mendoakan yang terbaik. Saya berjanji apabila sampai masanya, saya akan beritahu dengan lebih lanjut," katanya.

Raja Ilya berkata, ketika ini, dia berada di Malaysia bagi menyelesaikan penggambaran membabitkan beberapa drama seperti Syurgaku Tak Sempurna 2 serta dua filem.

"Sebaik semua kerja selesai, saya akan 'terbang' semula ke AS bagi memulakan projek yang dipersetujui. Syarikat produksi terbabit bersetuju menunggu saya," katanya.

Berkongsi pengalaman berada di AS, Raja Ilya memberitahu, banyak pengalaman diperoleh hingga membuka matanya terutama ketika menjalani beberapa sesi pemilihan.

"Saya bertuah dipertemukan dengan ramai pengarah, pelakon dan penerbit filem yang sangat komited dengan kerjaya dan mereka tidak lokek berkongsi pengalaman.

"Tidak ketinggalan, saya berpeluang pergi ke acara parti selepas Anugerah Akademi dianjurkan," katanya yang teruja mengembangkan karier lakonan hingga ke Hollywood.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.