Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

20,000 penonton banjiri SNBJ saksikan filem biopik Lee Chong Wei

Tayangan Perdana Sedunia filem Lee Chong Wei mencatat rekod Malaysia Books Of Records (MBOR) sebagai acara Tayangan Perdana Paling Ramai dan Skrin Layar Terbesar termasuk Tayangan Perdana Terbesar di Asia.

 

Tayangan perdana yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di ibu negara malam tadi dibanjiri lebih 20,000 orang penonton yabg terdiri daripada pelbagai bangsa.

Datuk Lee Chong Wei yang turut hadir acara tersebut meluahkan rasa bangga terhadap sambutan penonton terhadap filem biografi dirinya itu.

"Awalnya saya sukar untuk memberi kerjasama dalam pembikinan filem tersebut tetapi setelah diyakinkan oleh pengarah, akhirnya perancangan tersebut berjaya terlaksana," katanya yang turut hadir bersama isteri, Datin Wong Mew Choo bersama dua anak mereka.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan filem tersebut bukan sekadar memaparkan tentang kesukanan tetapi ia turut menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Kita bukan sahaja menyaksikan sebuah kisah tentang legenda wira tanah air tetapi filem ini turut menjadi inspirasi agar sentiasa bersungguh-sungguh mengejar cita-cita terutama golongan belia.

"Chong Wei pernah memberitahu pada saya bahawa bakat sahaja tidak pernah cukup sekiranya tiada disertakan kesungguhan. Itu yang membuatkan dia berjaya seperti sekarang," jelas Khairy.

Selain itu, turut hadir Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bersama barisan pelakon filem Lee Chong Wei.

Diarahkan oleh Teng Bee, filem tersebut menyaksikan pelakon baharu Tosh Chan membawakan watak sebagai Chong Wei manakala Datuk Rosyam Nor memegang peranan menjadi Datuk Misbun iaitu jurulatih kepada Chong Wei.

Filem tersebut turut dibintangi oleh Jake Eng, Ashley Hua dan Agnes Lim selain memulakan tayangan di seluruh pawagam pada 15 Mac depan. - Kosmo Online

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.