Dikemaskini 1:48 AM, 10 May, 2018
A+ A A-

Itu hak Adenan - Masing

Timbalan Ketua Menteri II Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing menegaskan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mempunyai kuasa mutlak melantik sesiapa sahaja sebagai timbalan ketua menteri dan anggota Kabinetnya.

"Ketua Menteri sudah buat penjelasan, kalau masyarakat Cina mahu timbalan ketua menteri orang Cina, mereka perlu mempunyai wakil yang ramai daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Pada masa ini, ia adalah kuasa mutlak Ketua Menteri sama ada mahu melantik atau tidak timbalan ketua menteri daripada kaum Cina," kata Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu.

Beliau ditemui selepas menghadiri istiadat pelantikan menteri-menteri muda Kabinet Sarawak di Dewan Papau, Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini hari ini.

Masing mengulas apabila ditanya pemberita mengenai rasa terkilan masyarakat Cina di Sarawak kerana Adenan tidak melantik timbalan ketua menteri dalam kalangan wakil rakyat kaum Cina.

Sehubungan itu, Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak, berkata terserah kepada masyarakat Cina kerana Adenan sudah membuat penjelasan mengenai perkara itu.

Baru-baru ini, Adenan melantik Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Masing sebagai timbalan ketua menteri. Mengenai kemungkinan calon langsung BN daripada Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang diketuai Datuk Seri Wong Soon Koh menyertai semula SUPP, Masing berkata beliau tiada masalah jika mereka berbuat demikian.

"Persetujuan sebelum pilihan raya negeri yang lepas adalah untuk calon langsung BN yang menang memilih parti komponen BN yang mana mereka mahu sertai.

"Mereka perlu membuat keputusan parti mana yang mereka mahu sertai supaya masalah politik dapat dikurangkan," katanya.

Ditanya sekiranya lima calon langsung BN daripada UPP menyertai SUPP akan membolehkan parti itu memiliki 12 kerusi DUN iaitu satu kerusi lebih daripada PRS, Masing berkata beliau tidak nampak ia menjadi masalah kepada partinya.

"Nombor itu (bilangan kerusi) tidak menjadi masalah besar dan tidak usahlah kita bermain dengan nombor kerana apa yang penting adalah kesetiaan dan komitmen kita kepada BN," katanya.

Sementara itu, Masing berkata beliau berpuas hati dengan jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PRS yang dilantik sebagai menteri muda, iaitu Datuk John Sikie Tayai (Kakus), Liwan Lagang (Belaga) dan Malcom Mussen Lamoh (Batang Ai).

Mengenai pelantikan ADUN Mulu, Datuk Gerawat Gala sebagai Timbalan Speaker DUN, Masing berkata Gerawat adalah pilihan yang tepat kerana latar belakang beliau sebagai pengamal undang-undang. - Bernama

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.