Dikemaskini 5:30 PM, 29 Jun, 2018
A+ A A-

PAS harap undi protes untuk menang

Kurang dua hari lagi hari mengundi, PAS hari ini yakin menang pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar dan akan berusaha menterjemahkan undi protes di kalangan orang Melayu supaya disalurkan kepadanya.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP) Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, terdapat rasa tidak puas hati yang tinggi di kalangan pengundi terhadap kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Cabaran yang ada kepada jentera pilihanraya PAS dalam dua hari terakhir ini adalah mendorong pengundi untuk menterjemahkan rasa ketidakpuasan hati mereka dalam bentuk undi protes di atas kertas undi,” katanya dalam satu kenyataan.

Zuhdi berkata kajian sebelum hari penamaan calon mendapati ketidakpuasan hati pengundi terhadap cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah tinggi iaitu 59% dengan hanya 22.3% bersetuju.

Menurutnya, 83.5% responden di Kuala Kangsar tidak berpuas hati dengan langkah kerajaan menangani kos hidup, sementara populariti Najib pula berada pada 44.2%.

Zuhdi memetik kajian Institut Darul Ehsan (IDE) di Sungai Besar, yang mendapati rasa tidah puas hati tinggi di kalangan golongan muda berusia 21 hingga 40 tahun.

IDE mendapati 47.4% responden di Sungai Besar tidak berpuas hati dengan perdana menteri dan ini mendorong mereka tidak mengundi Barisan Nasional (BN) .

“Dilaporkan juga 44.7% tidak bersetuju dengan pendekatan BR1M dalam mengatasi kenaikan kos hidup, justeru mereka menolak BN,” katanya.

Sebelum ini, pemerhati politik Prof Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff berkata PAS bakal menjadi parti paling rugi dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar ini.

Agus berkata, ini disebabkan tindakan parti Islam itu bertanding sendirian tidak membawa kepada keuntungan politik dalam dua PRK terbabit.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.